Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penafian Hamas bahawa ia mempunyai pendirian selari dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan kenyataan Ketua Pembangkang itu yang menyebelahi Israel.
Perdana Menteri berkata kenyataan Anwar nyata bertentangan dengan pendirian Hamas yang memperjuangkan hak rakyat dan negara Palestin.
“Dia (Hamas) tolaklah sebab kenyataan Anwar itu memang menunjukkan dia (Anwar) lebih memberi keutamaan kepada keselamatan negara Israel berbanding perjuangan orang Palestin yang ditindas dan dizalimi (rejim Israel) selama ini,” katanya pada sidang media di sini, Jumaat.
Najib mengulas kenyataan Pengerusi Biro Politik Hamas Dr Mousa Abu Marzook semalam yang menafikan pendirian pertubuhan itu selari dengan Anwar yang menyokong sebarang usaha melindungi keselamatan Israel.
Dr Mousa dipetik sebagai berkata bahawa pertubuhan itu sama sekali tidak akan mengiktiraf rejim Zionis.
Anwar sebelum ini mendakwa pemimpin Hamas Khalid Mashal menerima baik penjelasannya berhubung kontroversi berkenaan selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin itu di Qatar.
Najib berkata pendirian kerajaan terhadap Israel adalah konsisten sejak sekian lama dan ini terbukti melalui surat-surat bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad kepada tiga bekas pemimpin negara itu.
Kandungan surat itu antara lain menunjukkan ketegasan Malaysia terhadap kekejaman Israel dan tidak pernah menyokong negara itu mahupun perkara berkaitan negara itu.
Hamas nafi pendirian pertubuhan itu selari kenyataan Anwar
KUALA LUMPUR 1 Mac – Hamas hari ini menafikan pendirian pertubuhan tersebut selari dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong sebarang usaha melindungi keselamatan negara Israel ketika diwawancara oleh akhbar The Wall Street Journal.
Pengerusi Biro Politik Hamas, Dr. Mousa Abu Marzook berkata, pertubuhan itu sama sekali tidak akan mengiktiraf rejim Zionis kerana bagi Hamas, negara itu tidak sah kewujudannya di muka bumi.
“Saya dimaklumkan mengenai kenyataan Anwar yang menyokong usaha melindungi keselamatan negara Israel. Kami selaku pertubuhan Islam yakni pergerakan Hamas tidak ada kaitan dengan kenyataan itu,” katanya dalam wawancara yang disiarkan oleh Buletin Utama TV3 malam ini.
Kenyataan itu dianggap satu tamparan kepada Anwar yang sebelum ini mendakwa telah bertemu dengan pemimpin Hamas, Khalid Mashal di Qatar bagi menjelaskan kontroversi berkenaan.
Jelas Mousa, pendirian Hamas berhubung Israel tidak pernah berubah kerana apa pun alasannya pertubuhan tersebut tidak akan mengiktiraf negara rejim zionis berkenaan.
“Kewujudan negara Israel mengganggu sistem pengurusan, menggugat keadaan Masjid Al-Aqsa dan kesuciannya. Ketamakan serta kerakusan Israel tidak pernah berhenti, mereka tetap meneruskan matlamat untuk meluaskan jajahan di bumi Palestin.
”Sedangkan Hamas akan terus berjuang bagi memerdekakan Palestin tanpa ragu-ragu,” katanya.