Bekas Pengerusi Bersih yang juga peguam, Datuk S Ambiga menafikan beliau dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baharu.
“Tidak benar,” katanya secara ringkas memetik laporan yang dikeluarkan Sinar Harian.
Penafian tersebut sekaligus menolak dakwaan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).
Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali dalam satu kenyataan sebelum ini membantah keras dakwaan itu menyifatkan bekas Pengerusi Bersih itu pejuang tegar LGBT dan tidak layak berada dalam jabatan atau agensi kerajaan.
Kerusi Pengerusi SPR kini kosong berikutan penyandangnya, Datuk Azizan Azhar Harun meletak jawatan dan dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat pada 13 Julai lalu.
Pada Sabtu, Ahli Suruhanjaya SPR, Datuk Seri Ramlan Ibrahim pula dilapor meletakkan jawatan berkuatkuasa Jumaat.
Khabar angin juga bertiup kencang mendakwa penyebab utama Ramlan berundur diri dari SPR dikatakan kerana protesnya terhadap cadangan kuat kerajaan PN untuk melantik Ambiga.