PEMANDU Toyota Camry yang menggunakan lorong kecemasan di Kilometer 56 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Bentong, Pahang hari ini hingga sebuah motosikal terbabas sudah menyerah diri dan ditahan polis.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang Superintendan Kamarulzaman Jusoh mengesahkan pemandu kenderaan terbabit yang juga seorang lelaki berusia 37 tahun menyerah diri selepas membuat laporan di Balai Polis Gombak pada 6.51 petang.
Menurutnya, pemandu kereta itu kemudiannya dibawa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong dan akan menjalani ujian saringan awal air kencing.
Katanya, kenderaannya turut ditahan untuk siasatan lanjut.
“Dua mangsa yang menunggang dan membonceng motosikal itu sedang dikesan untuk membantu siasatan.
“Motosikal itu ditunggang lelaki Orang Asli manakala pemboncengnya adalah wanita Melayu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Yusuf Unis berkata, kejadian berlaku pada 2.30 petang apabila kenderaan dipandu lelaki itu mengubah haluan ke lorong kecemasan untuk memotong kenderaan hadapan.
“Motosikal yang datang dari lorong kecemasan yang ditunggang lelaki dan membonceng wanita berusia 26 tahun itu cuba mengelak lalunya sebelum terbabas ke kiri dan terjatuh di tebing jalan,” katanya dalam satu kenyataan.
Yusuf berkata, pemandu kenderaan tidak memberhentikan kenderaannya selepas kejadian itu.
“Mangsa yang cedera di hantar ke Hospital Bentong dan dirawat sebagai pesakit luar.
“Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Berita berkaitan
[Video] Langgar lari di Karak – mana mau lari