SHAH ALAM — Kes penipuan cinta siber dan belian secara online mencatat kenaikan di Selangor tahun lepas, kata polis.
Supt Siasatan 1 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Komersial Selangor Supt Ng Keok Chai berkata, sebanyak 188 kes penipuan cinta siber dicatat tahun lepas berbanding 239 kes tahun sebelumnya manakala kes penipuan belian online ialah 445 kes, berbanding 274 kes pada 2010.
“Walaupun dari segi keseluruhan kes penipuan mencatat penurunan namun dua kes penipuan iaitu cinta siber dan belian online mencatatkan kenaikan masing-masing 51 kes dan 171 kes pada tahun 2011,” katanya kepada pemberita di sini Rabu.
Terdahulu beliau menyertai program tinjaun mesra Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Selangor sempena sambutan Hari Polis ke-205 di empat kawasan tumpuan orang ramai di sekitar Shah Alam, antaranya Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini.
Beliau berkata secara keseluruhannya, kadar jenayah komersial di Selangor menurun sebanyak 15.6 peratus dengan 4,943 kes dicatat tahun lepas berbanding 5,863 kes pada tahun sebelumnya.