Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terus mendesak kerajaan melaksanakan semula moratorium pinjaman bank secara automatik bagi meringankan beban rakyat.
Jelasnya, lanjutan moratorium secara automatik penting memandangkan ia bukan sahaja membantu rakyat berpendapatan rendah malah turut meringankan beban golongan berpendapatan sederhana (M40).
Tambah Najib, lanjutan moratorium pinjaman juga sesuai dilakukan semula memandangkan negara masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Sebab apa PKPB boleh dilanjutkan berkali-kali tapi moratorium pinjaman automatik tidak boleh dilanjutkan secara pukal sekali terutamanya untuk peminjam M40 sedangkan bank-masih catat keuntungan?
“Kerajaan kena fikir perkara ini. BN (Barisan Nasional) akan terus lawan sampai dapat,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan bersetuju untuk meminta pihak bank melakukan lanjutan moratorium secara bersasar.
Muhyiddin berkata, bukan mustahil jika moratorium tidak dilakukan secara bersasar, namun sudah pasti akan terdapat implikasi terhadap ekonomi negara terutama membabitkan sistem perbankan.