IPOH – Seorang lelaki warga emas maut selepas diserang seekor babi hutan ketika memetik cendawan di kebun sawit di Tanah Hitam di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 11 pagi itu, mangsa yang dikenali Soo Chau, 71, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamed Nordin Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa masuk ke kebun kelapa sawit berkenaan untuk mencari cendawan seorang diri.
“Tiba di lokasi kejadian, mangsa terserempak dengan seekor babi hutan yang dipercayai terlepas dari jerat yang dipasang pemburu haram.
“Haiwan liar tersebut kemudiannya menyerang mangsa dan pada masa sama, seorang lelaki yang berada berhampiran kawasan tersebut yang datang untuk menolong mangsa turut diserang babi berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Mohamed Nordin, lelaki yang cuba untuk menolong mangsa mengalami kecederaan akibat serangan babi tersebut.
“Haiwan yang mempunyai dawai di kaki itu kemudiannya lari ke semak berhampiran namun ia tersangkut pada akar pokok sebelum ditembak pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
“Mangsa maut dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk proses bedah siasat manakala lelaki yang cedera turut dirawat di hospital sama,” katanya.