RAUB – Selepas pokok tumbang dan menghempap sebuah kereta di jalan ke Bukit Fraser kelmarin, hari ini laluan ke tanah tinggi itu kembali terhalang apabila berlaku tanah runtuh.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.51 pagi itu berlaku tanah runtuh yang melibatkan tiga bongkah batu besar beserta tanah jatuh di Jalan Bukit Fraser berhampiran Kampung Tras di sini.
Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Shahrul Nizam Nasir berkata, kejadian berkenaan menyebabkan jalan berkenaan terhalang akibat ditimbuni tanah dan juga bongkah batu.
“Tiada kemalangan jiwa dan mangsa dalam kejadian itu dan jalan berkenaan ditutup kerana tiada ruang dan berisiko kepada pengguna.
“Bongkah batu agak besar dan perlukan penilaian kaedah yang bersesuaian kerana dikhuatiri jentera jengkaut tidak berupaya mengalihkan batu tersebut,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya pada masa ini pihak Jabatan Kerja Raya masih menilai kaedah bersesuaian untuk memecahkan batu berkenaan.
Kelmarin sebatang pokok tumbang dan menghempap sebuah kereta yang sedang dipandu seorang lelaki menuju ke arah Fraser Hill di Jalan Tranum-Bukit Fraser.
Bagaimanapun mangsa yang berusia 27 tahun bernasib baik apabila terselamat dan tidak mengalami kecederaan dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu.