SEREMBAN: Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Cawangan Seremban di sini tidak terkecuali sesak dengan kehadiran pencarum yang mahu mengeluarkan wang akaun 1 menerusi permohonan i-Sinar yang bermula hari ini.
Sejak pukul 8 pagi, orang ramai mula beratur panjang sebelum memasuki ruangan pejabat sama ada untuk mendaftar i-Akaun ataupun i-Sinar.
Seorang pekerja pasar raya, Nur Fatin Fatihah Hashim, 25, berkata, dia bersyukur selepas kerajaan membenarkan pencarum untuk mengeluarkan wang menerusi akaun 1 mereka.
Katanya, tawaran yang diberikan itu tepat pada waktunya ketika kebanyakan rakyat sedang menghadapi masa yang sukar susulan pandemik Covid-19.
“Saya ambil peluang ini sebab untuk persediaan pada masa depan termasuk untuk membeli barang-barang keperluan anak dan belanja dapur. Kita tidak dapat jangka situasi selepas ini jadi saya ambil peluang untuk membuat permohonan i-Sinar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambahnya, dia yang kini hamil empat bulan tidak perlu beratur panjang kerana pihak KWSP telah menyediakan laluan khas kepada golongan pencarum sepertinya.
“Tadi saya cuma beratur 20 minit sahaja. Proses untuk urusan permohonan pun mudah dan tidak rumit,” tambahnya.
Sementara itu, seorang pekerja kedai cat, Sufizan Azmi, 30, berkata, dia keliru untuk membuat permohonan i-Sinar secara dalam talian menyebabkannya sanggup memilih untuk beratur lebih dua jam di pejabat KWSP tersebut.
“Kerajaan dah bagi kita peluang untuk keluarkan duit jadi kita kenalah usaha sikit beratur panjang. Itu bukan sebab untuk mengeluh sebaliknya kita kena bersyukur dapat keluarkan duit sebagai persediaan pelbagai kemungkinan nanti,” ujarnya.
Bagi seorang lagi pencarum, Qaidatul Ikhsan Baharudin, 27, berkata, pihak KWSP sangat membantu dalam urusan pencarum walaupun ramai yang terpaksa beratur di tengah panas.
“Tadi ada kakitangan KWSP berikan air mineral semasa beratur. Beratur lebih dua jam tetapi proses di kaunter kurang 10 minit, saya nak puji usaha mereka untuk memudahkan urusan kami,” jelasnya.