“Tak tipu punya, you (awak) boleh datang sini tengok bola pusing,” itu kata-kata penganjur perjudian yang menjadikan ladang kelapa sawit sebagai ‘port’ rahsia mereka.
Video menunjukkan kira-kira 30 kaki judi melakukan pertaruhan perjudian sabung ayam dan dadu itu tular di media sosial sejak semalam.
Aksi beberapa individu melakukan pertaruhan dikendalikan penganjur warga tempatan turut dirakam. Malah, rakaman berkenaan menunjukkan penganjur cuba mempengaruhi semua kaki judi untuk melakukan pertaruhan.
Rakaman itu juga menunjukkan, satu gelanggang sabung ayam juga dilihat di ladang sawit berkenaan dan beberapa individu juga dirakam bersedia untuk bertaruh.
Penularan video berkenaan mengundang kecaman netizen apabila menggelarkan kawasan terbabit sebagai mini ‘genting’.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, siasatan mendapati kejadian itu tidak berlaku di Selangor.
“Kita dah siasat, ia (perjudian) bukan berlaku di Selangor (Ulu Yam). Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dilakukan,” katanya.