LENGGONG: “Selepas pulang dari kursus Usahawan TEKUN di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) di Raban pada 7 malam tadi, saya bertanya mengenai anak lelaki yang tidak pulang sebelum diberitahu dia keluar mencari pucuk paku,” kata Norhatijah Hashim.
Norhatijah, 51, adalah ibu kepada Mohamad Roslan Kamarul Zaman, 24, yang maut akibat diserang binatang buas dipercayai babi di kawasan hutan Kampung Banggol Batu, dekat sini.
Ketika ditemui di rumah besannya di Kampung Banggol Belimbing, hari ini, Norhatijah berkata, selepas laporan dibuat di Balai Polis Lenggong pada 1 pagi hari ini, dia dimaklumkan mengenai kematian anaknya akibat serangan binatang buas itu.
Katanya, mayat anaknya itu ditemui adik tirinya, Muhammad Azuan Asril, 19, bersama penduduk kampung yang berusaha mencarinya di hutan terletak kira-kira 1 kilometer dari Jalan Raya Kuala Kangsar-Gerik (Kampung Banggol Batu) pada 12 tengah malam tadi.
“Mulanya Muhammad Azuan keluar bersendirian mencari abang tirinya di hutan di sekitar perumahan di Kampung Banggol Batu, tetapi tidak berjaya menemuinya.
“Kemudian dengan bantuan kawannya serta penduduk kampung, mereka keluar semula pada 10 malam dan masuk ke hutan untuk mencari sehingga akhirnya menemui anak kedua saya itu yang sudah pun meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, anggota Balai Polis Lenggong menerima laporan mengenai kejadian itu pada 1 pagi hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan keterangan pengadu terutama Muhammad Azuan, mangsa bekerja kampung termasuk mencari pucuk paku untuk dijual sambil membantu ibunya menjual makanan.
Katanya, pada 3 petang semalam, mangsa memberitahu hendak mencari pucuk paku dan kebiasaannya akan pulang semula selepas dua atau tiga jam.
“Bagaimanapun, mangsa tidak pulang hingga ke malam menyebabkan adiknya menghubungi rakan serta penduduk untuk mencari mangsa selepas usaha bersendirian tidak berjaya.
“Pada mulanya mereka menemui motosikal mangsa dan kemudiannya mayat mangsa dalam keadaan tidak bernyawa, tertiarap dengan bahagian bawah pinggang hingga kaki berada dalam lopak air manakala bahagian pinggang ke kepala berada di atas tanah.
“Simati dilihat mempunyai banyak kecederaan di bahagian badan disyaki diserang binatang,” katanya.
Zulkifli berkata, jarak mangsa ditemui dengan jalan besar adalah 1 kilometer dengan jalan hanya boleh dilalui motosikal dan kenderaan pacuan empat roda.
Beliau berkata, penduduk memberitahu terdapat banyak babi di kawasan berkenaan dan pemeriksaan mendapati tiada unsur jenayah terhadap mangsa.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat dan hasilnya mendapati kematian mangsa disebabkan pelbagai kecederaan akibat serangan binatang.
Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Belimbing selepas solat Jumaat, hari ini.