KUANTAN: Remaja perempuan, Balvin Kaur Raghbir Singh, 17, yang dilaporkan hilang di sini sejak 7 April lepas, sudah ditemui semalam apabila gadis itu hadir ke Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata pelajar Tingkatan Lima itu datang sendiri ke Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada pukul 3 petang semalam selepas berita kehilangannya tersebar.
“Dia hadir ke Balai Polis Dang Wangi dengan tidak ditemani sesiapa di mana dia kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan hari ini untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarganya,” katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.
Keluarga remaja perempuan itu membuat laporan polis pada 7 April lalu selepas gadis itu tidak pulang ke rumah selepas keluar dari rumahnya di Bukit Setongkol di sini pada kira-kira 12 tengah hari.
Remaja perempuan itu dipercayai telah mengikut seorang lelaki yang dikenali sebagai Ravi yang berusia 53 tahun dan seorang perempuan berusia 25 tahun yang dikenali sebagai Sri.