SEREMBAN — PILU… Seorang penunggang motosikal terbunuh kira-kira 500 meter dari rumahnya selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di persimpangan Taman Ampangan-Taman Pancor Jaya dekat sini hari ini.
Mangsa, Zulkifli Alias, 60, maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta Proton Pesona di persimpangan Taman Ampangan-Taman Pancor Jaya dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 6.00 pagi itu.
Jurucakap polis berkata kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu kereta itu gagal mengelak motosikal mangsa ketika sedang keluar di simpang itu lalu merempuh motosikal mangsa.
Ekoran rempuhan itu mangsa tercampak kira-kira 20 meter dari tempat kejadian.
Sementara itu isteri mangsa, Samsiah Ahmad yang ditemui di tempat kejadian berkata, allahyarham suaminya dalam perjalanan menaiki motosikal selepas keluar dari rumah pada kira-kira 5.45 pagi menuju ke Stesen Keretapi Seremban untuk menaiki komuter.
Menurut Samsiah lagi, ini kerana allahyarham suaminya yang berkerja di Petaling Jaya berulang alik ke tempat kerja dengan menaiki komuter.
Mangsa yang mengalami kecederaan teruk di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta Proton Pesona itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan Asp Abd Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk bedah siasat.