SAYA suka dengan idea muzakarah Umno-Pas. Sejak dahulu lagi saya menyokong hasrat itu. Berdialog, berbincang, berunding, cuba memahami antara satu sama lain adalah perlambangan manusia bertamadun.
Kedua parti besar itu mewakili rakyat kita yang sudah dan ingin bertamadun, maka adalah patut untuk mereka menzahirkan manifestasi ketamadunan itu dalam bentuk mampu berbincang apabila ada keperluan.
Maka di sini saya ingin sebutkan beberapa perkara yang saya lihat perlu diberikan perhatian dalam hasrat tersebut:
1. Asasnya, perbincangan ke arah meredakan permusuhan sesama muslim adalah ajaran Islam. Firman Allah: (maksudnya) “Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah antara keduanya; jika salah satunya berlaku melampau terhadap yang lain, maka perangilah puak yang melampau itu sehingga mereka kembali mematuhi perintah ALLAH; jika mereka kembali patuh, maka damaikanlah antara keduanya dengan adil, serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); Sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sebenarnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada ALLAH supaya kamu beroleh rahmat†(Surah al-Hujurat: ayat 9-10).
2. Banyak perkara negative dalam dilangsaikan melalui perdamaian perasaan sesama umat. Bisik-bisik tanpa asas yang benar di belakang, banyak menyebabkan keadaan yang lebih buruk. Firman ALLAH (maksudnya) “Tiada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau menyuruh berbuat kebaikan, atau menyuruh perdamaian antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan ALLAH, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar†(Surah al-Nisa’: ayat 114).
3. Pemikiran bahawa salah satu parti akan mengalami kerugian sebelum perundingan ataupun muzakarah agak tidak kukuh. Sepatutnya, sebagai parti yang sudah lama dalam sejarah, keduanya mempunyai kemampuan untuk duduk berbincang secara matang dan mantap. Bahkan kesediaan mereka untuk duduk berbincang akan memberikan nilai yang positif di mata rakyat.
4. Perkara yang penting pada peringkat ini ialah membawa kedua pimpinan parti itu duduk dalam satu perbincangan dengan perasaan ukhuwwah yang berasaskan kepentingan umum melebihi kepentingan diri. Kejayaan untuk mereka duduk dalam suasana yang demikian adalah sesuatu yang besar.
5. Hendaklah dipastikan bahawa pertemuan kedua parti itu adalah atas hasrat kebaikan rakyat secara menyeluruh, bukan untuk kepentingan survival parti yang bersifat terhad. Pertemuan itu tidak sepatutnya memandulkan usaha-usaha baik kedua belah pihak. Ini seperti usaha-usaha transformasi di pihak Umno, dan usaha-usaha positif yang boleh membuka cara fikir rakyat di pihak Pas.
6. Perbincangan ataupun muzakarah itu bukan semestinya melakukan asimilasi politik yang akan menjadikan salah satu parti itu lebur ke dalam yang satu lagi. Jika itu berlaku, ia akan boleh menghilang ‘checks and balances’ dalam sebuah negara demokrasi. Itu tidak baik untuk rakyat. Sebaliknya peranan muzakarah mampu mengingatkan hakikat diri mereka semua tentang ukhuwwah islamiyyah, sekali gus mengembalikan nilai-nilai akhlak dan adab Islam apabila berbeza ataupun bersengketa.
7. Muzakarah itu tidak patut menjadi medan membahaskan kesalahan antara kedua parti kerana ruang itu sudah ada di Parlimen, sebaliknya keduanya hendak mencari ‘common ground’ antara kedua parti yang dapat memberikan kebaikan kepada rakyat dan negara. Hakikatnya, sesiapa yang mendekati kedua parti ini, banyak ruang dari sudut naluri insani muslim yang sama ataupun hampir sama. Banyak hasrat dan cita yang sama. Banyak rasa yang sama. Banyak duka dan suka yang sama. Kebanyakan khilaf yang zahir disebabkan ‘perbuatan’ dalam politik dan pengurusan. Namun ruang untuk melihat persamaan masih ada.
8. Berjumpa, tersenyum, bersalaman dan nasihat menasihati dengan niat yang baik sentiasa mempunyai keberkatan dan rahmat. Ia melapangkan dada, mendatangkan hikmah dan menjadikan perasaan kita lebih dekat dengan Tuhan. Kemudian, setelah usaha ikhlas berlaku, keadaan masih tidak dapat dibaiki, semua pihak teruskan usaha yang baik yang sedia ada dan serahkan segala urusan itu kepada ALLAH. Pertemuan sekurang-kurang menjadi tanda di akhirat bahawa arahan ALLAH tentang perdamaian telah diusahakan dengan Ikhlas.
Saya rasa perasaan saya sama dengan rakyat biasa yang lain, mendoakan hasrat itu dapat dilihat dan direalisasikan dalam iklim politik yang matang.
* Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis dan kini Felo Pusat Pengajian Islam Oxford