Anggota kumpulan Bee Gees, Robin Gibb yang baru sahaja pulih dari koma lebih kurang sebulan yang lalu telah disahkan meninggal dunia pada usia 62 tahun.
Keluarganya mengeluarkan kenyataan ringkas yang Robis menghembuskan nafasnya yang terakhir pada lebih kurang jam 10.46 malam Ahad (waktu London).
Beliau meninggal dunia selepas sekian lama bergelut dengan penyakit barah hati dan kolon.
“Keluarga Robin Gibb, ahli kumpulan Bee Gees mengumumkan dengan rasa begitu sedih bahawa Robin meninggal dunia hari ini (Ahad) selepas bertarung dengan kanser dan beberapa pembedahan.
“Kami memohon supaya tidak diganggu pada saat ini,” kata keluarga penyanyi itu dalam satu kenyataan.
Akhbar The Sun UK melaporkan, anak-anak mendiang Robin iaitu Robin-John, Spencer dan Melissa serta isterinya Dwina berada di sisinya ketika dia meninggal dunia di Hospital Chelsea di sini.
Hanya pada 26 April yang lalu, ketika kembali sedar selepas 12 hari berada dalam koma, isteri Robin, Dwina berkata, Robin berazam untuk melawan sakitnya itu dan mahu terus hidup dan mencipta lagu.
Sepanjang dia berada di dalam koma, abangnya Barry dan anak-anak lelakinya yang juga penyanyi serta pencipta lagu secara bergilir-gilir mendendangkan lagu-lagu ciptaan Robin di telinganya sehinggalah dia tersedar.
Sementara itu abang sulungnya yang juga anggota terakhir The Bee Gees yang masih hidup, Barry Gibb, 65, yang kini telah kembali di Amerika tetapi sentiasa berada di sisinya ketika dia di dalam koma telah dimaklumkan tentang kematian Robin.
Barry, Maurice dan Robin mencipta nama dalam dunia pop dan disko pada 1970-an dan 80-an dengan lagu-lagu popular termasuk “How Deep Is Your Love”, “Stayin’ Alive”, dan “Night Fever”.
Kumpulan tersebut meraih penjualan album sebanyak 200 juta unit di seluruh dunia, meletakkan mereka sebaris dengan The Beatles, Rolling Stones dan Pink Floyd.