Penduduk di tebing Sungai Golok mula bimbang apabila paras air mula menunjukkan peningkatan selain hujan tanpa henti sejak malam tadi.
Tinjauan di beberapa penempatan rendah seperti Kampung Tersang, Kampung Gual To’Deh dan Kampung Lubok Gong, di sini, mendapati kebanyakan sungai mula melimpah namun hanya beberapa rumah mula digenangi air separas 0.3 meter.
Penduduk, Nashran Nasuha, 26, mengakui tidurnya terganggu malam tadi, susulan hujan ‘luar biasa’ lebat yang boleh membawa kepada banjir, tambahan pula kediamanya yang terletak hanya beberapa meter dari Sungai Golok.
“Saya ingatkan musim tengkujuh sudah berlalu kerana agak lama kita mengalami cuaca panas, namun kini bertukar hujan semula. Jika diikutkan hujan lebat baru bermula malam tadi, tetapi paras air sungai dilihat naik dengan mendadak.
“Bagaimanapun, saya berdoa semoga hujan tidak berlarutan kerana penat mengemas rumah yang dilanda banjir. Selain itu, kami juga perlu berpindah ke tempat selamat atau pusat pemindahan sementara (PPS) jika bah berlaku.
“Dari rumah, saya dapat melihat gerakan air sungai agak deras sekali gus menambahkan kerisauan, justeru saya sentiasa peka dengan informasi melalui laman web dan media semasa untuk mengetahu lebih lanjut situasi sebenar,” katanya yang juga anak jati pekan Rantau Panjang, di sini.
Menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my, dua Sungai iaitu Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah dan Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai sudah melebihi paras bahaya masing-masing mencatat bacaan 25.17 meter (m) dan 35.17m.
Sementara itu, penduduk Kampung Tersang, Mek Dah Salleh, 65, berkata padang di bahagian belakang rumahnya sudah mula digenangi air akibat limpahan di Sungai Lanchang, di sini.
“Kami sedang berjaga-jaga dan memindahkan kereta serta motosikal di tempat selamat termasuk haiwan peliharaan.
“Saya tidak mahu ‘kalut’ seperti akhir tahun lalu yang mana banjir besar melanda tanpa dijangka,” katanya.