Pengerusi DAP, Karpal Singh menegaskan, selagi hidup, beliau akan terus berjuang untuk memastikan seorang bukan Melayu menyandang jawatan Perdana Menteri.
Menurutnya, meskipun ketika ini pakatan pembangkang bersetuju bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah calon paling layak memegang jawatan nombor satu negara, namun beliau secara peribadi menganggap tidak ada undang-undang yang boleh menghalang jawatan itu disandang oleh calon bukan Melayu.
“Selagi saya hidup, saya akan berjuang untuk melihat seorang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas kenyataannya dalam beberapa laporan akhbar berbahasa Inggeris sebelum ini tentang beliau menamakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai bakal Perdana Menteri, Karpal mengakui tersilap menyebutnya tetapi tetap menegaskan calon bukan Melayu akan menyandang jawatan tersebut suatu hari nanti.
“Saya akui tersasul menyebut menamakan Lim Guan Eng sebagai Perdana Menteri tetapi buat masa ini, kita (pakatan pembangkang) sepakat untuk pilih Anwar jika menang pilihan raya nanti,” jelasnya.
Menurut Karpal, tidak termaktub dalam Perlembagaan negara yang menyebut hanya orang Melayu dibenarkan menjadi Perdana Menteri.
“Saya tidak pasti sama ada hasrat untuk melihat bukan Melayu menjadi Perdana Menteri termakbul dalam era saya, namun saya tetap akan memperjuangkan impian ini,” tegas beliau.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Kota Alam Shah, M. Manoharan turut senada dengan Karpal yang mahu melihat bukan Melayu memegang jawatan Perdana Menteri.
Kata beliau, tidak ada salahnya mana-mana kaum di negara ini menyandang jawatan tersebut.