TUMPAT – Enam buah rumah hangus dalam kebakaran di Jalan Keretapi Dalam Rhu di sini pada petang Sabtu.
Ketua Zon Kota Bharu, Penguasa Bomba, Suhaimi Mahmood berkata, kejadian berlaku pada jam 1.40 petang.
“Kebakaran melibatkan tiga buah rumah yang musnah 100 peratus manakala sebuah rumah terbakar 70 peratus dan dua rumah lagi terbakar 40 peratus.
“Kejadian ini tidak melibatkan kemalangan jiwa namun punca serta nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Menurut Suhaimi, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.43 petang.
“Tiga jentera dan satu tanker digunakan untuk kerja memadam kebakaran dan api dapat dikawal pada jam 2.11 petang,” katanya.