AIDCNews – 30/05/12 – Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali, seperti dilaporkan Berita Harian berkata, pihaknya membuat laporan polis berhubung pendedahan dokumen rahsia itu, di Balai Polis Putrajaya, petang semalam.
Katanya, jika benar dakwaan Raja Petra itu, siasatan akan dilakukan kerana siasatan jenayah tidak ada tempoh masa walaupun kes itu sudah berlalu.
Dalam masa sama, katanya lagi, Panel Penilai Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bermesyuarat Khamis ini, bagi membincangkan dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan kes rasuah terhadap Mohamed Azmin dihentikan pada 1995.
“Sebarang maklumat lanjut berkaitan kes ini akan diketahui selepas kami membentangkan laporan kepada Panel Penilai Operasi, Khamis ini,” katanya.
Raja Petra, Pengarang portal Malaysia Today dalam pendedahannya semalam mendakwa, Anwar yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu mengarahkan BPR tidak mengambil tindakan lanjut (NFA) ke atas Azmin dan menghapuskan fail siasatan walaupun mempunyai cukup bukti untuk menahan dan mendakwanya.
Sementara itu, Azmin seperti dilaporkan Mstar menafikan dakwaan itu melalui twitternya hari ini.
“Tidak berasas, 17 tahun dulu. Baca buku Datuk Shafee Yahaya bekas Ketua Pengarah BPR (Badan Pencegah Rasuah),” katanya menerusi akaun twitternya pada Rabu.
Selain itu, Azmin turut menafikan dakwaan yang mengaitkan beliau dan isterinya, Shamsidar Taharin memiliki saham, rumah dan kereta mewah bernilai kira-kira RM1.5 juta dan hampir RM10 juta dalam bentuk wang tunai dan cek.
“Persetankan mereka. Nabi Musa dan Nabi Yusuf juga difitnah. Saya manusia kerdil. Pohon kekuatan dari Allah SWT,” katanya.
“Saya hanya insan kerdil. Dosa saya ialah saya lawan Umno,” kata Mohamed Azmin dalam tweet balas kepada seorang lagi teman twitternya.
Semalam, RPK dalam pendedahannya bertajuk “MACC ‘Deep Throat’ comes out of the closet” (Pemberi maklumat SPRM dedah identiti diri) memuat turunkan lebih kurang 21 dokumen berkaitan dengan siasatan kes rasuah membabitkan Azmin, ketika beliau masih berada dalam kerajaan pada 1995.
Ketika itu, Azmin dikenali sebagai ‘budak bermata biru’ yang menjadi Setiausaha Sulit kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia.
Dokumen itu mengandungi kesalahan-kesalahan rasuah Azmin yang telah diklasifikasikan sebagai “tiada tindakan lanjut” di bawah arahan Anwar.
Anwar didakwa mengarahkan kroninya, Ketua Pengarah BPR ketika itu, iaitu Datuk Shafee Yahaya supaya menghentikan siasatan tersebut.