HULU SELANGOR – Seorang lelaki parah selepas kereta yang dipandu bertembung dengan sebuah kenderaan lain di kilometer 41 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, Antaragapi dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, kemalangan berlaku sekitar pukul 9 pagi melibatkan dua buah kenderaan iaitu Toyota Vios dan Proton Persona.
“Kejadian dipercayai berlaku ketika Proton Persona yang dipandu seorang anggota polis berpangkat Koperal dalam perjalanan dari Gombak ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor manakala Toyota Vios pula dari Kuala Kubu Bharu menghala Serendah.
“Pemandu Proton Persona berusia 37 tahun cuba memotong kenderaan di hadapannya, namun tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan Toyota Vios yang datang dari arah bertentangan,” katanya.
Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan pemandu Toyota Vios berusia 25 tahun mengalami kecederaan parah di kaki dan dikejarkan ke Hospital Selayang.
“Sementara itu, pemandu Proton Persona pula mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk rawatan lanjut,” katanya.