Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau membuat keputusan untuk menyertai sambutan Pesta Gawai bagi menunjukkan bahawa bahawa “apa yang dicakapnya adalah serupa bikin” kerana beliau merupakan Perdana Menteri untuk semua dan bahawa kerajaan mengambil berat hal ehwal semua rakyat Malaysia.
Najib berkata beliau perlu mempraktikkan keinginannya menjadi Perdana Menteri bagi semua dengan membuktikan bahawa ia bukan semata-mata satu kenyataan politik atau retorik.
Beliau berkata hasratnya untuk lebih dekat dengan rakyat dan membawa pembangunan yang seimbang dan saksama telah diterjemahkan dalam bentuk tindakan seperti yang dibuktikan dengan peruntukan RM2.3 bilion hasil tinjauan mesra di seluruh Sarawak sejak tiga tahun lalu.
“Apabila kita menyambut Gawai, kita meraikan satu cerita mengenai kejayaan, kita bukan meraikannya kerana kita gagal atau sebagai sebuah negara yang gagal tetapi kita berjaya dalam pembinaan negara, pembangunan ekonomi dan sosial dan dalam menyatupadukan masyarakat kita yang berbilang budaya,” katanya di hadapan 3,000 hadirin yang menghadiri rumah terbuka sambutan Ngabang Gawai di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di sini.
Pada majlis itu, beliau meluluskan peruntukan kerajaan pusat sebanyak RM5 juga bagi pembinaan ibu pejabat Yayasan Kebudayaan Dayak di Kuching.
Perdana Menteri juga mengingatkan rakyat supaya tidak memperjudikan masa depan negara kerana realitinya adalah pembangkang tidak akan mampu mencontohi rekod cemerlang dan pencapaian Barisan Nasional (BN).
“Ini bukan masanya untuk menguji (dengan mengundi pembangkang) kerana ia akan hanya mewujudkan keadaan yang tidak menentu. Kita mesti berpegang dengan apa yang kita ada dan apa yang kita ada telah terbukti sangat berjaya,” katanya.
Najib berkata kerajaan sangat komited untuk membawa status Malaysia sebagai sebuah negara maju dengan ekonomi berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 berdasarkan pelan hala tuju yang boleh dipercayai dan mendalam.
Dalam kes Sarawak, beliau berkata, kira-kira 73 peratus daripada jumlah peruntukan yang diumumkan semasa program tinjauan mesra telah dimanfaatkan sepenuhnya dengan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah sebagai menteri penyelaras.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal juga kerap turun ke Sarawak bagi memastikan projek-projek pembangunan ini dapat dilaksanakan dengan lancar, katanya.
Najib berkata janji kerajaan untuk terus berkhidmat kepada rakyat bukan janji-janji kosong atau janji-janji pilihan raya tidak seperti pembangkang, yang akan meletakkan pelbagai bentuk tekanan sebagai daya tarikan politik.
Pada majlis rumah terbuka itu, Najib turut sama dengan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan kenamaan negeri yang lain di atas pentas untuk menyanyikan “Wawasan Bekikis Bulu Betis,” yang mana liriknya digubah khusus oleh Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu atas semangat sambutan Gawai.
Gambaran yang diberikan Perdana Menteri bahawa sambutan Gawai merupakan satu daripada kekuatan negara dalam kepelbagaian adalah Sarawak yang unik adalah tepat ditonjolkan dalam persembahan tradisional yang kaya dengan budaya termasuk “ngajat begawai”.
Sementara itu seorang petani, Tarang Rimong, 53, yang berasal dari sebuah rumah panjang Iban di Ulu Layar, kira-kira 40 km dari sini mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi turut padang untuk berjumpa dengan penduduk luar bandar.
Suri rumah Habsah Hamid, 42, turut merasa bangga kerana Betong telah pesat membangun dengan seorang anaknya, Nor Azrin Fazira, 16, sedang menuntut di Maktab Rendah Sains Mara Betong, yang dirasmikan oleh Najib ketika menjadi Menteri Pelajaran dulu.