BATU PAHAT: Akibat dirempuh rumput tebal ketika air sungai deras, jambatan utama di Kampung Parit Baru, Parit Raja di sini runtuh semalam 24 September 2022.
Ketua Kampung Parit Baru, Norlaili Pardi berkata, ketika kejadian dia kebetulan sudah berada berdekatan dengan jambatan berkenaan pada jam 11.00 pagi.
“Sebelum kejadian saya membuat tinjauan di jambatan berkenaan kerana melihat keadaan air sungai agak tinggi dan dipenuhi rumput yang sangat tebal.
“Namun tidak menyangka tragedi jambatan runtuh berkenaan betul-betul berlaku di depan mata saya sendiri,” katanya ketika ditemui hari ini.
Beliau berkata, ketika kejadian tiada pengguna jalan raya atau penduduk kampung melalui jambatan berkenaan.
“Sudah hampir empat bulan sungai berkenaan tidak diselenggara dan pihak pengurusan kampung juga sebelum ini mendesak pihak berwajib untuk melakukan pembersihan sungai itu tapi tiada sebarang tindakan.
“Jambatan berusia kira-kira 30 tahun yang runtuh itu menjejaskan hampir 800 penduduk daripada 40 keluarga,” katanya.
Penduduk kampung, Mohd Hairulhisam Husin, 41, berkata, sehari sebelum kejadian dia ada merakam video keadaan sungai di sekitar jambatan berkenaan.
“Keadaan sungai agak teruk, rumput sangat tebal. Apabila paras air tinggi dan rumput tebal itu tercabut dan hanyut arus air sungai yang deras.
“Akibatnya, rumput tebal berkenaan tersangkut pada tiang jambatan dan tidak dapat bertahan apabila arus air sungai deras sebelum runtuh,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja, Nor Rashidah Ramli berkata, beliau sudah meminta Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan segera termasuk membuat kerja pembersihan di sungai itu.
“Air mengalir deras menghanyutkan rumput dan menyebabkan tiang jambatan runtuh. Susulan kejadian saya dan pihak berwajib ke lokasi kejadian dan meminta pihak JPS menggunakan jenteranya mengawal pergerakan struktur runtuhan,” katanya.
Katanya, pihak Syarikat Air Johor (SAJ) dan Tenaga Nasional Berhada (TNB) sudah digerakkan ke kawasan kampung supaya kemudahan asas terus dapat diakses oleh penduduk.
“Pihak pentadbiran daerah dan negeri sama-sama mengambil tanggungjawab dan inisiatif untuk menyelesaikan permasalahan berkenaan.
“Satu jambatan penghubung sedang diusahakan bagi kemudahan penduduk kampung,” katanya.