PAKAN, 3 Jun — Kejayaan Malaysia dalam menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan agama diiktiraf pemimpin dunia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata kejayaan menyatupadukan rakyat dalam segala aspek itu dikagumi pemimpin-pemimpin dunia termasuk pemimpin dari negara maju seperti Amerika Syarikat.
“Malaysia boleh jadi negara model dan contoh kepada dunia, ini bukan Barisan Nasional (BN) yang cakap, jauh sekali pembangkang…orang luar iktiraf kejayaan kita, kejayaan itu adalah hakikat dan realiti yang sebenar,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 3,000 penduduk Rumah George anak Chunggut Nanga Nansang dan sekitar Pakan di sini, hari ini.
Katanya dua senator dari Amerika Syarikat yang datang ke Malaysia baru-baru ini kegum dengan kejayaan kerajaan BN dalam mengekalkan keharmonian rakyat negara ini.
Najib berkata gagasan 1Malaysia sebenarnya sudah lama wujud dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini dan ia lebih ketara dan jelas dalam amalan hidup rakyat Sarawak.
Menurutnya sambutan perayaan-perayaan masyarakat di negara ini seperti Gawai Dayak mencerminkan kepelbagaian budaya yang boleh diterima semua rakyat dimana-mana pun di Malaysia.
“Kita sambut Gawai Dayak dengan rasa syukur bahawa negara Malaysia diiktraf sebuah negara berjaya, sebelum saya luahkan gagasan 1Malaysia, Sarawak pada hakikatnya sudah amal semangat 1Malaysia selama ini,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, sejak memegang tampuk kepimpinan negara tiga tahun lalu banyak kemajuan telah dibawa ke Sarawak termasuk di kawasan-kawasan pedalaman.
Katanya untuk memastikan pembangunan itu dapat diteruskan, BN perlu diberi mandat semula pada pilihan raya umum akan datang kerana usaha memajukan negara memerlukan perbelanjaan yang besar serta bukannya mengambil masa yang singkat.
“BN akan terus bela, kita perlu dapat mandat baru. Kalau tiga tahun banyak ini kita buat…tambah lagi lima tahun lagi banyak lagi perubahan besar berlaku di negeri Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Najib yang tertarik dengan lagu tempatan bertajuk “Berkikis Bulu Betis” berkata lagu tersebut memang unik kerana ia menggambarkan kesungguhan rakyat Sarawak untuk bangkit maju walau apapun cabaran yang perlu ditempuh.
Katanya sebagai mengiktiraf lagu tempatan itu beliau berharap lagu karya Andrewson Ngalai itu dapat diangkat menjadi lagu nasional dan dinyanyikan pada Hari Merdeka dan Hari Malaysia nanti.
Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang juga Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom.