Seorang wanita warga emas dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini kerana menyimbah asid ke atas seorang lelaki warga Pakistan sehingga mengalami kelecuran tahap satu di bahu kanan dan belakang badan, minggu lepas.
Majistret Chai Guan Hock menjatuhkan hukuman itu terhadap Saira Abdullah, 62, selepas dia mengaku bersalah mencederakan Inam Ullah, 37, dengan menggunakan cecair kimia di dalam lif Blok B Pangsapuri Laksamana Jaya, Kampung Laksamana, Batu Caves, Gombak, pada 1.10 pagi, 4 Julai lepas.
“Tertuduh telah mengaku bersalah dan menjimatkan masa dan kos mahkamah. Dengan mengambil kira faktor kepentingan awam dan keseriusan kesalahan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bermula dari tarikh tangkap pada 9 Julai 2023,” kata majistret itu.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.
Peguam Izleen Ismail dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Selangor yang mewakili Saira merayu hukuman ringan dengan alasan anak guamnya, seorang mualaf kini dalam proses penceraian dengan suaminya selain mengalami kemurungan teruk serta menghidap penyakit darah tinggi.
“Wanita ini sudah 32 tahun berumahtangga dengan suaminya. Bagaimanapun, tiga tahun lepas, dia mendapat tahu bahawa suaminya mempunyai hubungan sulit dengan perempuan lain,” kata peguam itu dan menambah anak guamnya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Menurut Izleen, dalam kes ini, tertuduh mendakwa dia telah diprovokasi oleh mangsa (Inam) yang mahu berkawan dengannya walaupun lelaki itu sudah berkahwin.
“Tertuduh tidak boleh berfikir dengan betul dan mengambil tindakan sendiri (menyimbah cecair kimia) dan dia amat menyesali perbuatannya,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal memohon hukuman berat berbentuk pengajaran dikenakan terhadap tertuduh, mengambil kira kecederaan dialami mangsa kerana faktor kepentingan awam perlu mengatasi kepentingan peribadi tertuduh.
Mengikut fakta kes, hasil pemeriksaan doktor mendapati mangsa mengalami kesan lecuran tahap satu di bahu kanan dan belakang badan.
Dalam prosiding sama, Saira mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mencederakan Jemilah Sabda, 60, isteri kepada Inam pada tempat, waktu dan tarikh sama, juga mengikut seksyen yang sama.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Sept ini untuk sebutan semula kes.
BACA juga: