MAGHRIBI – Gempa bumi kuat di Maghribi telah mengorbankan lebih 600 penduduk dan mencederakan ratusan yang lain, selain turut memusnahkan bangunan.
Penduduk bandar-bandar utama bergegas keluar dari kediaman mereka berikutan gegaran paling dahsyat di negara itu sejak 2004.
Gempa dengan magnitud 7.2 melanda pergunungan High Atlas Maghribi pada Jumaat.
Seorang pegawai tempatan berkata, kebanyakan kematian berlaku di kawasan pergunungan. Media kerajaan berkata 632 orang maut manakala 329 lagi cedera. Angka itu merupakan jumlah kematian awal yang dikemas kini Kementerian Dalam Negeri.
Gempa itu merosakkan bangunan di Marrakech, yang berdekatan dengan pusat gempa. Penduduk terpaksa bermalam di tempat terbuka kerana bimbang untuk pulang ke rumah.
Sebuah menara masjid di Dataran Jemaa al-Fna, pusat bandar lama Marrakech, tapak Warisan Dunia UNESCO turut tumbang.
“Kami terpaksa berlari sejurus gempa kuat melanda itu,” kata Jaouhari Mohamed menceritakan detik cemas ketika kejadian itu untuk menyelamatkan diri.
“Saya masih tidak boleh tidur di dalam rumah kerana kejadian itu, sekiranya ada yang terjatuh ia akan menyebabkan yang lain roboh,” katanya.
Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan meminta orang ramai untuk tenang berikutan gempa yang melanda di wilayah Al Haouz, Ouarzazate, Marrakech, Azilal, Chichaoua dan Taroudant.
Montasir Itri, Penduduk perkampungan pergunungan Asni Montasir Itri berkata, kebanyakan rumah di situ rosak. “Jiran kami berada di bawah runtuhan dan orang ramai bertungkus-lumus menyelamatkan mereka,” katanya.
Berhampiran Taroudant, seorang guru Hamid Afkar berkata dia menyelamatkan diri selepas merasakan gegaran susulan. “Kejadian gempa berlaku kira-kira 20 saat mengakibatkan pintu terbuka dan tertutup sendiri. Saya bergegas turun dari tingkat dua,” katanya.
Pusat geofizik Maghribi berkata, gempa itu berlaku selepas pukul 11.00 malam waktu tempatan di kawasan Ighil di High Atlas.
Televisyen Sepanyol RTVE melaporkan gegaran akibat gempa bumi dirasai di Huelva dan Jaen di Andalusia, selatan Sepanyol.
Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bersedia membantu kerajaan Maghribi dalam “usahanya untuk membantu penduduk yang terjejas”, kata jurucakap PBB Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.
Kerajaan di seluruh dunia menyatakan solidariti dan menawarkan bantuan.
Marrakech akan menjadi tuan rumah mesyuarat tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia pada Oktober.- REUTERS