Apabila terdapat cadangan bahawa kerajaan dijangka menambah peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi setiap kawasan Parlimen yang diwakili Barisan Nasional, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim meloncat dan melenting.
Peruntukan tambahan yang membabitkan kira-kira RM200 juta itu dikatakan Anwar satu tindakan terdesak oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tujuan peruntukan itu adalah supaya wakil-wakil rakyat BN boleh melaksanakan pelbagai projek serta program pembangunan rakyat di kawasan masing-masing.
Ia bukan dana untuk kempen pilihan raya mahupun bagi kepentingan peribadi ahli-ahli parlimen terbabit kerana kelulusan setiap permohonan untuk menggunakan peruntukan itu perlu mengikut proses yang ketat dan telus, selalunya melalui pejabat daerah.
Setiap kali kerajaan memberi bantuan, pembangkang memandang serong dan melempar pelbagai tuduhan kononnya ia bermotifkan politik.
Seolah-olahnya tidak ada apa-apa kebajikan yang boleh dilakukan oleh kerajaan kepada rakyat tanpa menerima cacian dan fitnah pihak pembangkang.
Anwar juga mengelabah apabila kerajaan juga bercadang untuk meneruskan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi pusingan kedua.
Pada pusingan pertama BR1M, kerajaan telah berjaya menyalurkan wang tunai sebanyak RM500 kepada setiap keluarga yang layak membabitkan hampir satu juta keluarga di seluruh negara dengan peruntukan RM2.6 bilion.
Pelaksanaan program BR1M bagi kali kedua ini adalah kerana kerajaan berpendapat masih terdapat ramai keluarga yang perlu dibantu dalam usaha meringankan beban kehidupan mereka.
Kemelut ekonomi dunia yang semakin meruncing sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada Malaysia, dan sebagai kerajaan ang bertanggungjawab, kebajikan rakyat perlu didahulukan.
Inilah usaha yang dilakukan oleh Perdana Menteri yang telah melaksanakan banyak program dan dasar yang mementingkan rakyat.
Anwar membuat kritikan membabi buta untuk menutup kegagalannya sebagai Ketua Pembangkang dan Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.
Yang paling menyedihkan taraf beliau sebagai bekas Menteri Kewangan yang kononnya berpengalaman tidak langsung diberi pengiktirafan oleh Menteri Besar, Abdul Khalid Ibrahim.
Walaupun jawatan Menteri Besar diungguli oleh PKR, namun semua cadangan Anwar berkaitan ekonomi Selangor, ditolak mentah-mentah oleh Abdul Khalid.
Buktinya, tidak ada satu program pembangunan di Selangor pun yang boleh dikaitkan dengan cetusan minda Anwar.
Malah boleh dikatakan Anwar tidak membawa apa-apa pembangunan atau perubahan positif kepada kehidupan rakyat Selangor.
Beliau lantang bersuara untuk menurunkan harga minyak petrol apabila berjaya merampas Putrajaya pada pilihan raya umum kelak.
Sekiranya inilah hasratnya, apa salahnya jika Selangor menggorak langkah dengan memberi subsidi bahanapi di negeri itu?
Bukankah itu akan lebih meyakinkan rakyat bahawa pembangkang cakap serupa bikin?
Dalam isu PTPTN pula, apabila kerajaan mengambil keputusan membekukan permohonan pinjaman bagi pelajar Unisel, Menteri Besar segera membuat cadangan cetek untuk menjual aset kerajaan negeri untuk menampung dana pelajar.
Jika inilah dasar menjual harta benda negeri yang termampu difikirkan oleh pembangkang setiap kali berdepan dengan krisis, besar kemungkinan Selangor akan bankrap belum sempat habis satu penggal mereka mentadbir negeri itu.
Hakikatnya pembangkang hanya pandai bercakap dan membuat janji manis yang tidak masuk akal tetapi gagal menggotakan setiap yang dijanjikan kepada rakyat.
Umpamanya amaran kerajaan pusat bahawa Selangor bakal menghadapi krisis bekalan air yang serius menjelang tahun 2014 tidak dihiraukan.
Pembangkang terus memperjudikan nasib rakyat dan masa depan kemajuan ekonomi negeri dengan mempolitikkan isu projek Langat 2 untuk menyalurkan air Sungai Pahang ke Selangor.
Pembangkang lebih rela melihat rakyat Selangor menderita kerana kekurangan bekalan air daripada bekerjasama dengan kerajaan pusat mencari penyelesaian.
Anwar dan kuncu-kuncu pembangkangnya hanya mampu menyalak untuk mempengaruhi rakyat supaya membenci kerajaan kerana realitinya mereka gagal untuk melakukan satu kebaikan pun untuk rakyat.
Bak kata pepatah, pembangkang berlagak seperti tin kosong, lebih bunyi daripada isi.