SEREMBAN – Tular dalam media sosial sejak tengah hari ini mengenai tindakan beberapa individu mengamuk kerana tidak dapat membeli beras putih tempatan (BPT) di outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kuala Pilah, pagi tadi.
Video berdurasi satu minit 17 saat itu memaparkan kekecewaan sebilangan pembeli termasuk warga emas yang beratur sejak awal pagi untuk mendapatkan beras tempatan.
Difahamkan, sebanyak 170 pek beras 10 kilogram (kg) daripada jumlah keseluruhan 2,000 kampit beras yang diterima FAMA Negeri Sembilan diedarkan untuk dijual di seluruh negeri ini menerusi pelaksanaan Intervensi Pengedaran BPT.
Susulan itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias meminta FAMA Negeri Sembilan menambah baik proses BPT selepas menerima rungutan daripada orang ramai di sesetengah tempat.
Menurutnya, langkah tambah baik itu termasuk mengehadkan jumlah pembelian oleh orang ramai bagi mengelakkan bekalan beras tersebut tidak mencukupi.
“Saya terima laporan ada satu keluarga beli sampai enam kampit 10kg, ini tidak adil bagi orang lain. Di Seremban, FAMA benarkan satu keluarga atau seorang individu beli sekampit tetapi ia tidak berlaku di Kuala Pilah dan Jelebu sehingga menyebabkan berlaku kekurangan” katanya.