Kegembiraan sembilan sahabat untuk berkelah bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut manakala seorang lagi parah setelah terbabit dalam kemalangan di Kilometer 415.2 Lebuhraya Utara Selatan arah Ipoh berhampiran susur keluar Plaza Tol Lembah Beringin di sini, semalam.
Mereka yang berkonvoi lima motosikal difahamkan bergesel sesama sendiri sebelum mangsa dikenali sebagai, Muhammad Ammarul Asyraf, 19, terjatuh dan digilis treler.
Saksi yang enggan dikenali berkata, mangsa sebelumnya menunggang motosikal dengan membonceng seorang rakannya bersama empat lagi motosikal lain.
“Mereka dikatakan nak pergi berkelah di sebuah resort di Kalumpang tidak jauh dari sini.
“Setibanya di laluan ini motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan motosikal rakannya lalu terjatuh dan ketika itu sebuah treler yang datang dari belakang menggilis mangsa dan diseret kira-kira 100 meter,” katanya.
Menurutnya, kejadian yang berlaku sekitar jam 11.30 pagi itu turut menyebabkan seorang daripada mereka cedera parah.
Katanya, mangsa yang berasal dari Pandamaran, Klang, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan manakala rakannya yang parah dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kalumpang.
Menurut saksi itu lagi, mangsa seorang anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Cawangan Klang.
Sementara itu, sumber awam memberitahu treler terbabit dalam perjalanan dari Bukit Beruntung ke Sungai Petani, Kedah.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendah Norel Azmi Yahya Affendi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.