Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa dijangka tiba di Malaysia tengah malam ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ia bagi membantu siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Jelas Saifuddin, Ng sebelum ini diserahkan kepada Amerika Syarikat (AS) dengan status bersifat sementara bagi menghadapi perbicaraan berkaitan 1MDB.
“Apabila perbicaraan selesai tak kira bebas atau sabit perjanjian itu mengatakan bahawa AS akan serah balik pada kita, sepanjang keberadaan dia di sana dalam pengetahuan kita sifatnya sementara dan dia diberi penyambungan untuk tinggal di sana menghadapi perbicaraan dan dia telah disabitkan 10 tahun penjara tapi belum lagi menjalani pemenjaraan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) bersama masyarakat Orang Asli di Pos Kuala Mu, di sini.
Media sebelum ini melaporkan Ng yang sudah pun dijatuhi hukuman 10 tahun penjara di New York, Amerika Syarikat susulan membantu menggelapkan berbilion dolar dana kekayaan 1MDB, akan diserahkan kepada Malaysia untuk berdepan tuduhan di negara ini.