Isu pembekalan air bersih di seluruh Kelantan yang berlarutan sejak bertahun-tahun, kelihatan masih sukar menemui jalan penyelesaian di bawah kerajaan negeri pimpinan PAS.
Walaupun kerajaan persekutuan sudah memberi pinjaman mudah tanpa faedah kira-kira RM600 juta kepada kerajaan negeri, namun masih banyak kedengaran rungutan rakyat di sana-sini, yang tidak puas hati dengan tekanan air yang rendah dan lebih teruk lagi bekalan terputus.
Ada dalam kalangan penduduk yang terpaksa mencari jalan penyelesaian sendiri seperti menggali telaga walaupun menyedari ia tanpa jaminan kebersihan dan boleh memudaratkan kesihatan.
“Tidak semua kawasan sesuai digali telaga (perigi), macam kawasan kami di Kampung Kubang Sawa ini (dalam jajahan Tumpat). Memang boleh digali telaga tetapi airnya langsung tidak boleh digunakan kerana berbau busuk dan rasanya masam kelat.
“Untuk mendapatkan air minum terpaksalah dari paip kerajaan, walaupun siang tak ada air dan hanya tengah malam baru ada. Kami terpaksa bangun tadah air tengah malam,” kata warga emas Md Yusof Wan Hitam, 73.
Md Yusof senasib dengan penduduk lain di kampungnya dan kampung-kampung berhampiran, yang terpaksa menggunakan sumber air alternatif iaitu air sungai untuk mandi manda dan kegunaan harian lain.
Prihatin dengan pelajar di 30 sekolah di negeri ini menghadapi masalah bekalan air bersih yang kritikal Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, yang melawat Kelantan pada 24 April, mengumumkan peruntukan RM100,000 untuk pemasangan penapis air di semua sekolah itu.
Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lantang mengetengahkan isu rakyat, khususnya air, mengkritik kegagalan kerajaan PAS menyelesaikan masalah itu walaupun sudah 22 tahun memerintah negeri ini.
Pada pandangan ahli akademik, kerajaan Kelantan harus bekerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk mencari jalan bagaimana untuk mendapatkan kaedah penyelesaian yang berkesan kerana isu air adalah isu hak asasi masyarakat.
Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan Prof Dr Raduan Che Rose berkata jangan politikkan isu air ini.
“Kita tahu kerajaan persekutuan telah menyalurkan pinjaman kewangan tanpa faedah sebanyak RM600 juta dan ini sudah diberi dengan harapan isu air ini selesai. Namun saya tidak tahu apa dah jadi kerana mendapatkan bekalan air bersih masih menjadi masalah besar,” katanya kepada Bernama di kampus UMK Pengkalan Chepa di sini.
Dr Raduan berkata kerajaan pusat sudah bertindak ikhlas untuk menyelesaikan masalah bekalan air bersih agar semua rakyat tidak dinafikan hak mereka untuk memperoleh keperluan asas itu.
Menurutnya, untuk membekalkan air bersih yang mencukupi, kerajaan negeri Kelantan yang bertanggungjawab dalam pentadbiran sumber berkenaan perlu mencari teknologi baharu untuk pembersihan dan rawatan air.
“Saya sudah cuba air alternatif untuk pelajar saya di asrama kampus UMK di Bachok, saya sudah buat telaga, ada air tetapi tidak boleh digunakan, air keluar tetapi berbau (busuk), pelajar rela tidak mandi, itu hakikatnya,” katanya.
Pemerhati sosial Zainab Yusoff pula berkata setakat ini tidak terlihat suatu usaha atau tindakan serius yang berkesan pun yang dilakukan oleh kerajaan PAS untuk benar-benar menyelesaikan masalah bekalan air yang begitu mendesak.
“Mungkin PRU ke-13 merupakan peluang terbaik bagi rakyat Kelantan untuk memilih kerajaan negeri yang baru yang lebih serius menangani masalah rakyat,” katanya yang berharap rakyat Kelantan membuka mata terhadap hakikat bahawa usaha dan projek pembangunan yang berlangsung di Kelantan sekarang majoritinya atas inisiatif kerajaan Barisan Nasional.
Beliau kecewa kerana ketika masalah untuk mendapatkan air bersih begitu mendesak bagi rakyat Kelantan, tiba-tiba kerajaan PAS cuba mengalihkan isu itu dengan menggula-gulakan rakyat dengan projek lebuh raya rakyat antara Kota Baharu-Kuala Krai, yang belum tentu akan menjadi kenyataan.
“Kerajaan pusat sudah menunjukkan keikhlasan membantu termasuk tidak meminggirkan Kelantan daripada projek pembangunan di bawah bidang kuasanya seperti jalan raya dan universiti serta kolej yang ada sekarang. Namun sumber bekalan air berada di bawah kerajaan negeri. Ini perlu disedari rakyat,” katanya.
Jika masalah air sudah berlarutan selama lebih 20 tahun gagal dicari penyelesaiannya oleh kerajaan negeri, siapa yang boleh dipersalahkan oleh rakyat Kelantan jika masalah itu dibiar berlanjutan?