Mayat seorang wanita dengan kesan luka di beberapa bahagian badan ditemui berhampiran sebuah kilang di Jalan Rawang, Batu Arang, Rawang dekat sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abd Rahim Abdullah berkata mayat wanita tanpa identiti itu ditemui orang awam yang melalui kawasan tersebut, dalam keadaan terbaring pada pukul 3.30 petang.
“Mangsa yang merupakan warga tempatan berusia 30-an memakai t-shirt berkolar merah serta berseluar jeans, ditemui dalam keadaan seluarnya dilondehkan dan tidak berseluar dalam.
“Hasil pemeriksaan awal polis mendapati mangsa cedera di dahi, bawah bibir, hidung dan kening yang dipercayai dicederakan menggunakan alat tumpul serta terdapat kesan lebam di leher,” katanya kepada Bernama di sini hari Khamis.