Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini meminta pihak yang berkenaan agar tidak membabitkan isterinya Datin Seri Wong Sek Hin dalam isu peribadi Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Katanya perbuatan itu tidak adil kerana isu tersebut tidak ada kena mengena dengan orang lain termasuk beliau dan isteri.
“…mereka (DAP) hanya mahu mengalihkan perhatian daripada beliau (Lim) kepada orang lain, termasuk saya dan mahu memperbesarkan isu itu,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Beliau ditemui pemberita selepas debat kali kedua dengan Lim yang bertajuk ‘DAP & MCA: Whose Policies Benefit the Community Better?’ (DAP & MCA: Dasar Siapa Yang Lebih Bermanfaat Kepada Masyarakat), anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli).
Dr Chua diminta mengulas mengenai laporan akhbar berbahasa Mandarin yang antara lain menyebut isteri Lim, Betty Chew Gek Cheng meminta Wong menasihati Dr Chua agar mengarahkan pemimpin MCA berhenti daripada menyalah guna sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membangkitkan dakwaan skandal Lim.
Mengulas lanjut, Dr Chua berkata pertanyaan yang dilontar wakil rakyat MCA bagi kawasan Duyung, Datuk Gan Tiang Loo pada sidang DUN Melaka Selasa lepas hanya soalan biasa yang boleh ditamatkan dengan jawapan ringkas “ya atau tidak”.
“Kalau tak ada, cuma bangun dan nafikan, isu akan berakhir di situ,” katanya.
Ditanya mengenai gesaan Lim agar beliau memohon maaf kepada Betty berhubung kenyaan Gan itu, Dr Chua berkata: “Mengapa saya harus minta maaf? Yang patut menjawab adalah beliau dan Betty, bukan saya.
“Yang memanjangkan isu ini bukan kami (MCA) tetapi Guan Eng dan juga Betty,” katanya.
Sementara itu, Lim berkata Dr Chua wajar minta maaf kepada beliau dan isteri serta seluruh wanita di atas perbuatan Gan “melontarkan tohmahan tentang isu itu semasa persidangan DUN dan telah menjatuhkan maruah wanita.”
Gan ketika membangkitkan isu itu dilapor meminta Betty yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Laksamana menjelaskan mengenai dakwaan skandal membabitkan Lim dan bekas staf di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Ng Phaik Kheng.
Bagaimanapun Betty yang memilih berdiam diri ketika itu mencabar Gan mengulangi soalan tersebut di luar Dewan pada sidang media kemudian.
Keesokannya lima wakil rakyat DAP termasuk Betty digantung daripada menghadiri sidang DUN Melaka selama enam bulan kerana menimbulkan kekecohan pada persidangan itu.
Sementara itu, ditanya sama ada beliau sedia berdebat lagi dengan Lim pada masa akan datang, Dr Chua berkata tiada makna program itu diadakan jika tidak dapat membantu menyelesaikan masalah rakyat.
Beliau juga menyifatkan perdebatan kali ini sama seperti sesi debat pada 18 Feb lepas apabila Lim tidak menjawab soalan yang dilontar penonton.
“Sama seperti pada sesi lepas, Guan Eng tidak menjawab soalan semasa berdebat dengan saya tadi, dia hanya tahu mengelak apabila sesi soal jawab itu, akhirnya saya juga menjawab bagi pihaknya,” katanya.
++++