PUTRAJAYA: Seorang lelaki dan wanita, dipercayai pasangan suami isteri, cedera ditembak selepas membuat kecoh di Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, pasangan terbabit cuba menceroboh bangunan dengan membawa pedang samurai.
Satu kenyataan akhbar berhubung maklumat lanjut kes akan dimaklumkan sebentar lagi oleh Pusat Media Kuala Lumpur.
Difahamkan, pengawal keselamatan cuba menghalang mereka,namun kedua-duanya bertindak ganas dan memecahkan sebuah Perodua Kancil dan dua Proton Waja di tempat letak kereta tidak jauh dari bangunan terbabit.
Cubaan polis untuk memujuk pasangan terbabit daripada bertindak lebih ganas tidak diendahkan, sehingga memaksa pihak berkuasa melepaskan tembakan dan mengenai mereka.
Suspek lelaki cedera dibahagian tangan kanan manakala pasangannya dibahagian peha kiri.
Kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh ketika dihubungi sebentar tadi mengesahkan seorang daripada suspek yang ditembak ketika membuat kecoh di Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri petang tadi meninggal dunia.
+++++
Berita terdahulu:
Pasangan mengamuk di perkarangan JPM
PUTRAJAYA 9 Jun – Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di sini kecoh apabila seorang lelaki dan wanita cuba menceroboh bangunan tersebut sambil membawa pedang samurai.
Lelaki bertubuh sasa dan tidak berbaju itu bersama pasangannya yang berhijab hitam kelihatan masuk di pondok pengawal keselamatan pada pukul 2.30 petang.
Bagi mengelak kejadian tidak diingini pasangan tersebut diminta masuk ke perkarangan bangunan.
Bagaimanapun, kedua-duanya bertindak ganas memecahkan sebuah Perodua Kancil dan dua Proton Waja di tempat letak kereta tidak jauh dari bangunan B1 yang menempatkan Biro Pengaduan Awam.
Anggota polis yang tiba di tempat kejadian cuba memujuk pasangan tersebut bagaimanapun gagal memaksa tembakan dilepaskan.
Suspek lelaki yang berseluar jeans cedera di tangan kanan, manakala pasangannya di paha kiri. Kedua-dua dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.
Kedua-dua suspek dikatakan memberitahu mahu menggulingkan kerajaan dan melaungkan perkataan takbir beberapa kali.
++++++++
+++