Peguam lantang PKR, Latheefa Koya meletak jawatan sebagai ahli majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pagi ini.
Perletakan jawatan ini dipercayai akibat daripada arahan Menteri Besar (MB) Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang meminta Latheefa agar menghantar surat tunjuk sebab menjelaskan mengapa beliau mengkritik pentadbiran adun Ijok itu.
“Mengikut apa yang saya dengar, sah Latheefa (gambar) sudah meletakkan jawatan.
“Dipercayai kerana arahan MB agar Latheefa menghantar surat tunjuk sebab tentang tindakannya mengkritik Tan Sri,” kata Azman Yusof yang juga ahli majlis MBPJ mewakili PKR.
Latheefa Koya juga merupakan ‘ketua whip’ bagi ahli majlis PKR di MBPJ.
Selain itu, beliau juga merupakan ahli kepada “One Stop Centre” (OSC) yang meluluskan sebarang projek di MBPJ.
Latheefa Koya mengesahkan telah menghantar surat perletakkan jawatan yang berkuat kuasa serta merta apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider sebentar tadi.
“Sah, saya sudah letak jawatan.
“Selebihnya saya tak mahu komen,” kata Latheefa.
Surat perletakan jawatan yang dikirim melalui email kepada The Malaysian Insider sebentar tadi menyatakan perletakan jawatan disebabkan oleh tindakan Latheefa menghantar email kepada pimpinan tertinggi PKR — mempersoalkan MB Selangor berkenaan perumahan rakyat miskin dan tidak berkaitan dengan hal MBPJ.
“Akibat daripada email tersebut, saya difahamkan MB dan Exco negeri telah bersetuju untuk memecat saya sebagai ahli majlis MBPJ.
“Perkara ini telah menjadi pengetahuan umum dan jawatan saya sebagai ahli majlis MBPJ tidak dapat dipertahankan lagi.
“Oleh itu, saya meletakkan jawatan sebagai ahli majlis MBPJ dengan serta merta,” kata Latheefa dalam surat perletakan jawatannya.
Sumber dalaman PKR yang tidak mahu namanya diketahui umum memberitahu The Malaysian Insider bahawa sebelum ini, Khalid Ibrahim telah mengarahkan setiusaha kerajaan negeri, Datuk Khusrin Munawi untuk menyediakan surat pemecatan Latheefa.
“MB langsung tidak boleh dikritik dan tindakan memecat Latheefa membuktikan beliau bertindak seperti seorang CEO syarikat Sdn Bhd berbanding sebagai seorang ahli politik,” kata sumber itu lagi.
Menurut sumber itu lagi, isu pemecatan Latheefa telah dibincangkan dalam mesyuarat mingguan Exco Selangor minggu lalu.
Belum pun reda isu pemecatan Latheefa, telah berlaku lobi-melobi di kalangan ahli majlis MBPJ PKR untuk merebut jawatan ‘ketua whip’ yang ditinggalkan oleh Latheefa.
Menurut sumber dalaman PKR yang tidak mahu namanya diketahui umum, ‘ketua whip’ akan membuat keputusan siapa yang bakal berada dalam jawatankuasa tender.
“Ramai berebut untuk jadi ketua Whip supaya dapat duduk dalam tender board (jawatankuasa tender).
“Bila dapat jadi tender board, kayalah mereka.
“Inilah perangai orang PKR hari ni, langsung tak sayang parti, jaga perut masing-masing je,” kata sumber itu lagi.
Beberapa nama disebut-sebut untuk menggantikan Latheefa sebagai ‘ketua whip’ ahli majlis MBPJ bagi PKR.
Khairul Annuar Ahmad Zainuddin yang juga timbalan ketua angkatan muda Keadilan (AMK) pusat, PKR adalah antara nama yang disebut-sebut.
Selain itu, bekas ahli parti Gerakan, CC Lee yang baru sahaja dilantik sebagai ahli majlis MBPJ disebut-sebut bakal dilantik sebagai ‘ketua whip’ kerana hubungan rapat beliau dengan kepimpinan PKR negeri Selangor.
Lebih ironi lagi, kedua-dua Khairul dan Lee berasal dari cabang sama iaitu Petaling Jaya Utara (PJU).
Azmin Ali adalah pengerusi PKR bagi negeri Selangor, jawatan yang beliau ambil alih dari Khalid Ibrahim selepas pemilihan PKR tahun 2010.
Selepas berlakunya pengasingan antara kepimpinan parti dan kerajaan negeri Selangor, banyak urusan-urusan seperti perlantikkan ahli majlis PKR tergendala akibat berlakunya perselisihan antara kepimpinan parti dan kerajaan negeri.
Latheefa turut menghantar salinan surat berkenaan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Bandar MBPJ.