Kumpulan pertama seramai tujuh pelajar Malaysia di Syria yang dibawa pulang berikutan pergolakan yang semakin meruncing di negara Timur Tengah itu, dijangka tiba di tanah air Rabu ini.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata mereka akan berlepas dari ibu negara Syria, Damsyik, pada 5.45 petang waktu tempatan esok dan dijangka tiba di tanah air, 2.55 petang Rabu, melalui penerbangan Emirates EK346.
Kumpulan kedua seramai 33 pelajar Malaysia akan berlepas pada 5.45 petang waktu tempatan pada Rabu dan dijangka tiba 2.55 petang Khamis, juga melalui penerbangan Emirates.
“Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik sedang berusaha memastikan semua pelajar dapat dipindahkan dengan segera,” kata Anifah dalam satu kenyataan pada Isnin.
Bilik Operasi kementerian yang dibuka 24 jam boleh dihubungi di talian 03-8889 2746, 8887 4570, 8887 4770, 8889 2809, 019-315 4080, 019-341 4080 dan 019-278 4556.