RANTAU PANJANG – Seorang kanak-kanak maut setelah dilanggar pacuan empat roda ketika melintas jalan di Kampung Bukit Lata di sini, petang ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, Muhammad Dini Harith Nahiran, 6, dikatakan sedang menyeberangi jalan untuk pulang ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim berkata, sebuah pacuan empat roda dari arah Pasir Mas ke Rantau Panjang telah melanggar mangsa.
Berikutan kejadian, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian pinggang dan bahagian belakang sebelah kiri.
“Mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. Kenderaan pacuan empat roda yang melanggar mangsa telah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian.
Haliluddin berkata, kenderaan pacuan empat roda yang melanggar mangsa dipercayai dipandu warga negara Thailand.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, bapa mangsa, Nahiran Mat Amin, 35, berkata, mangsa anak kedua daripada tiga beradik yang kesemuanya lelaki.
Menurutnya, dia tidak tahu tentang kejadian sehingga dimaklumkan keluarganya kerana ketika itu dia sedang tidur.
“Saya tidak tahu macam mana kejadian boleh berlaku, sebelum kejadian dia (arwah) meminta izin keluar dengan bapa saudaranya untuk ke sungai.
“Saya izinkan dia keluar dan saya pun tidur selepas itu,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Pasir Mas.