SIMUNJAN: Suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri Rumah Sebli, Sibau Rimbau, Simunjan amat meriah pada tahun ini.
Kunjungan Hari Raya Aidilfitri di perkampungan majoriti penduduk Iban Muslim itu mendapati bahawa hidangan juadah kali ini tampak berbeza berbanding tahun lalu.
Menurut Eric Banyeng, Hari Raya dianggap cukup istimewa buat keluarganya pada tahun ini.
“Kari rusa adalah salah satu juadah menarik untuk kami sajikan kepada ahli keluarga dan sahabat handai ketika perayaan yang mulia ini,” katanya kepada Utusan Borneo, di sini, semalam.
Beliau dan isteri berpendapat bahawa suasana sambutan Hari Raya tetap meriah di kalangan penduduk Iban beragama Islam di Kampung Sibau Rimbau pada setiap tahun.
“Suasana sambutan perayaan Hari Raya di sini tidak berbeza dengan suasana Hari Raya di perkampungan Melayu dengan adanya aktiviti bermain bunga api, gotong-royong membuat lemang dan sebagainya.
“Sebagai seorang penduduk Iban yang beragama Islam, saya dan ahli keluarga berasa amat bangga kerana dapat bersama penduduk Islam di negeri ini untuk memeriahkan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri pada setiap tahun,” katanya.
Manakala Mohd Saiful, 45, pula berasa amat gembira kerana sempat memeriahkan suasana Hari Raya bersama anak-anak dan isteri setelah sekian lama bekerja di rantau orang.
Menurut beliau tidak mudah bagi penduduk Iban yang bekerja di syarikat perkapalan luar negara untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut perayaan penting bersama keluarga.
“Saya berasa amat bersyukur kerana dapat pulang ke kampung (Sibau Rimbau) untuk memeriahkan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga setelah tiga bulan berada di perantauan untuk mencari rezeki.