Aliran trafik di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) dari arah utara masih bergerak perlahan manakala di bahagian selatan dilaporkan lancar, setakat 9.30 malam ini.
Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus Expressways Bhd berkata jumlah kenderaan bertambah dan bergerak perlahan dari arah utara menuju ke selatan terutamanya dari Juru ke Bukit Tambun, dari Sungai Perak ke Terowong Menora, dari Simpang Pulai ke Tapah dan dari Bidor ke Slim River.
“Keadaan trafik selepas Slim River kembali lancar. Tiada pertambahan jumlah kenderaan dari Seremban menghala ke ibu kota dan aliran trafik dari selatan ke ibu kota serta ke utara masih lancar,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik.