RAWANG – Tindakan seorang penunggang motosikal memotong sebuah treler di bahagian kiri jalan membawa padah apabila dia maut dalam keadaan tragis dengan isi kepalanya terburai dilanggar kenderaan 18 tayar itu, lewat malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa, warga Pakistan, Zulfiqar Ali dikatakan menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dari arah Rawang menghala ke Country Homes.
Sumber berkata, ketika berada di Jalan Sungai Dua berhadapan pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) Rawang, mangsa yang berusia 28 tahun dikatakan cuba memotong sebuah treler jenis Nissan yang berada di depannya.
Katanya, tindakan mangsa memotong dari bahagian kiri itu berdepan detik malang apabila dia dikatakan terlanggar konkrit pembahagi bahu jalan.
Menurut sumber, akibat daripada itu, motosikal ditunggangi terbabas dan menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan.
“Mangsa yang bekerja sebagai penjual tudung tidak sempat bangun menyelamatkan diri menyebabkan kepalanya digilis oleh treler cuba dipotongnya sebelum itu.
“Isi kepala mangsa terburai dilenyek tayar bahagian belakang treler yang membawa muatan batu konkrit sebelum disahkan meninggal dunia serta merta,” katanya.
Beliau berkata, pemandu treler warga tempatan berusia 51 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan memaklumkan memberhentikan kenderaan dipandunya sebaik merasakan tayar belakang terangkat.
Katanya, hasil pemeriksaan turut mendapati treler yang terbabit dengan kemalangan tidak mengalami sebarang kerosakan namun motosikal mangsa mempunyai kesan calar di bahagian kanan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di parah dikepala,” katanya lagi.
Kes dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Sehubungan itu, saksi yang melihat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Inspektor Rasha Azrul Shafii di talian 03-61262273 atau 03-61262257.