Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) sewajarnya tunggu sehingga mandat lima tahun berakhir jika ingin melihat Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) diadakan serentak, kata Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar, hari ini.
Mahfuz berkata, pendekatan itu akan mengelakkan isu ada negeri yang mahu mengadakan pilihan raya umum negeri asing berbanding PUR13 peringkat persekutuan.
Mandat semasa Kerajaan Pusat akan berakhir 28 April 2013 manakala Dewan Undangan Negeri (Dun) secara berperingkat di akhir Mei depan, bergantung pada tarikh sidang penggal pertama masing-masing.
Jika tidak, kata Mahfuz, negeri-negeri mempunyai kebebasan mengikut peruntukan perundangan untuk mengadakan pilihan raya Dun khususnya yang membabitkan Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR).
Sehubungan itu tegas beliau, tidak timbul isu kos yang bakal meningkat hingga lebih RM80 juta seperti yang didakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana tertakluk di dalam undang-undang dibenarkan membuat pilihan raya Dun secara berasingan.
“Memang tidak menjadi masalah. Jika tidak, kita tunggu saja Dun akan terbubar sendiri bila mandat berakhir hujung bulan April tahun hadapan,” katanya.
“Kalau negeri Sarawak boleh buat pilihan raya Dun asing, mengapa tidak Kedah?” ulasnya ketika menjawab soalan pemberita dalam sidang media, hari ini.
Sebelum pertengahan 1990-an, Sabah dan Sarawak telah mengadakan pilihan raya negeri secara berasingan. Sarawak sehingga kini masih mengadakan pilihan raya negeri berasingan, di mana kali terakhir ia berlangsung April 2011.
Bagaimanapun kata Mahfuz, Kerajaan Negeri Kedah masih lagi belum membuat keputusan untuk mengadakan PRU13 secara berasingan atau bersama-sama dengan Kerajaan Pusat.
Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini memutuskan akan mengadakan pilihan raya secara berasingan kerana SPR masih lagi belum membersihkan daftar pemilih.
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menambah yang pihaknya tidak menghadapi sebarang masalah jika calon luar dari kedah mahu bertanding dalam kerusi di negeri itu.
“Pas Kedah tidak hadapi sebarang masalah jika ada calon luar yang mahu bertanding di Kedah. Apa yang penting, calon itu mestilah lebih kredibel dan lebih baik daripada anak Kedah sendiri, barulah layak menjadi calon,” tegasnya.
Nik Aziz Dakwa Najib ‘Takut Bubar Parlimen’
SHAH ALAM – ‘Ketakutan’ Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sehingga kini masih belum berani untuk mengumumkan pembubaran Parlimen adalah satu kemenangan moral kepada Pakatan Rakyat (PR), kata Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Mursyidul Am Pas berkata, alasan Najib kononnya untuk menunggu mandat lima tahun sebelum mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menggambarkan ‘ada sesuatu’ yang belum meyakinkan Najib yang juga Presiden Umno.
“Satu daripada kemenangan moral kita ialah bila Umno tak berani nak bubar Parlimen.
“Lepas sehari, sehari ditangguh. Tentu ada sesuatu. Masalah apa kita tak tahu, yang pasti dia (Najib) ‘serabut perut’,” katanya dipetik Harakah Daily hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Temu Mata Anak Rantau Panjang D’Perantauan yang diadakan di sini, semalam.
Jumaat lalu, selepas pelbagai spekulasi timbul mengenai tarik PRU13, dan desakan tidak henti-henti dari PRt, Najib semalam tampil dengan kenyataan membayangkan pilihan raya tidak akan berlaku dalam masa terdekat.
Semalam, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan Najib menggunakan mandat penuh untuk menunaikan segala janji dan program.
Mengulas lanjut ‘ketakutan’ Najib itu, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan tidak menolak kemungkinan ia disebabkan kebangkitan rakyat yang kini semakin ramai menyokong PR.
“Semalam (kelmarin) di Johor, tak pernah lagi sebegitu ramai. Ini membuktikan kesedaran dan gelombang perubahan itu wujud,” katanya merujuk kepada majlis Perhimpunan Hijau yang diadakan di Johor Bahru kelmarin.