Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berpesan agar jemaah Malaysia tidak bimbang berkenaan tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), sebaliknya menumpukan perhatian terhadap amal ibadat agar dapat melaksanakan segala rukun dan syarat haji serta umrah dengan sempurna.
“Dan juga, sebagai tetamu ALLAH, doa tuan-tuan amat mahal dan mustajab di sisi ALLAH, oleh itu mohon disudikan untuk tuan-tuan mendoakan kesejahteraan dan kemakmuran negara, para pemimpin serta rakyat keseluruhannya,” katanya dipetik Bernama hari ini.
Najib, Pengerusi Barisan Nasional (BN), memberikan nasihat ini ketika spekulasi menyebut bahawa PRU13 akan dipanggil November ini.
Sebelum ini wujud polemik sama ada wajar PRU13 diadakan ketika musim haji.
Pas telah meminta Najib agar tidak membubarkan Parlimen ketika musim haji.
Sekitar 28,000 orang dari Malaysia akan menunaikan haji tahun ini. Kumpulan pertama jemaah haji telah berlepas ke Arab Saudi minggu lalu manakala kumpulan terakhir akan pulang ke tanah air awal November.
Najib berkata demikian dalam ucapannya pada majlis pelepasan jemaah haji 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Seramai 400 imam, ketua kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari seluruh negara, yang belum pernah mengerjakan ibadat haji diberi peluang menjadi tetamu ALLAH secara percuma melalui program itu kali ini, di mana surat tawaran diserahkan kepada mereka oleh Perdana Menteri pada 27 Ogos lalu.
Ini merupakan kumpulan kedua selepas kumpulan pertama 111 imam dan Pengerusi JKKK menerima tajaan itu tahun lalu.
Pesanan Najib ini memperkuatkan spekulasi bahawa PRU13 kemungkinan besar tidak akan diadakan tahun ini walaupun pemerhati dan penganalisis melihat ia akan dilangsungkan tahun ini.
Kelmarin, Najib selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno membayangkan PRU13 kemungkinan besar hanya akan diadakan tahun depan.
Menurutnya, PRU13 tidak akan diadakan dalam masa terdekat kerana Perhimpunan Agung Umno akan berlangsung mulai 27 November hingga 1 Disember ini.
“Tidak mungkin PRU13 diadakan dalam masa terdekat. Jika PRU13 diadakan dalam masa terdekat ini, sudah semestinya Perhimpunan Agung Umno juga akan ditangguhkan,” kata beliau.
Mandat semasa Kerajaan Pusat akan berakhir 28 April 2013.
Dalam ucapannya, Najib juga berkata, berubah kepada suatu keadaan yang lebih baik merupakan satu tuntutan dan ajaran asas dalam agama Islam, dan usaha perbaikan atau ‘islah’ itu merupakan agenda terpenting kerajaan pimpinan beliau.
Beliau berkata, ‘islah’ itulah yang menjadi roh kepada gagasan program transformasi nasional, untuk meletakkan negara menjadi sebuah negara Islam moden yang maju dan berpendapatan tinggi.
“Sesungguhnya, kita tidak pernah melupakan bahawa agenda Islam merupakan teras dalam kita membangun serta memajukan negara Malaysia ini. ‘Islah’ yang menyeluruh dan berstrategik ini juga amat menepati kehendak Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama negara.
“Apa yang lebih penting untuk difahami bahawa rahmat yang dibawa oleh ‘islah’ ini bukannya terhad kepada orang Islam sahaja bahkan rahmat ini dapat dinikmati sama dengan sebaik-baiknya oleh warga negara yang bukan Islam,” katanya.
Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, program penajaan haji 1MDB bukan sahaja akan diteruskan, malah mungkin akan digandakan jumlahnya sekiranya ‘ada rezeki’.
Beliau berkata, program itu juga tidak mustahil akan dipanjangkan kepada kelompok bilal dan siak serta guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), setelah sasaran menghantar para imam dan ketua kampung serta Pengerusi JKKK dapat dicapai.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut berpesan agar jemaah Malaysia, yang merupakan duta kecil negara ke sana, agar menjaga kelakuan dan tutur kata, kerana adab sopan inilah yang menyebabkan Malaysia dihormati oleh masyarakat dunia.