ALOR SETAR – Seorang pekerja kontraktor terkejut apabila menemui satu objek yang dipercayai janin dibungkus menggunakan kain batik berwarna kuning di bawah rimbunan pokok di Jalan Lumba Kuda, semalam.
Saksi, Ahmad Mugul Ahmad, 33, berkata, bungkusan itu ditemui kira-kira jam 9.30 pagi sewaktu dia bersama rakannya sedang melakukan kerja pengorekan bertujuan memasang pagar di kawasan terbabit.
Ahmad yang berasal dari Myanmar mendakwa, pada awal objek sebesar tapak tangan itu ditemui ia menyangka objek berkenaan adalah anak patung.
Menurutnya, setelah menghampiri objek terbabit, dia terkejut apabila objek itu masih dalam keadaan lembik.
“Saya juga terlihat objek seakan-akan kaki dan mengambil keputusan untuk menanam semula bungkusan berkenaan kerana pada waktu itu saya masih berada dalam keadaan terkejut.
“Namun, setelah memaklumkan kepada ketua, dia mengarahkan supaya saya mengorek semula dan memaklumkan kepada pihak polis,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, pihaknya sudah menerima aduan berhubung kejadian berkenaan kira-kira jam 10.30 pagi.
Adzaman berkata, hasil siasatan awal forensik masih belum dapat menentukan objek terbabit adalah janin atau tidak.
Katanya, siasatan juga mendapati terdapat serpihan kulit telur dan tulang kecil di dalam balutan kain batik berkenaan.
“Penemuan barang di dalam balutan kain yang ditemui itu dilihat menjurus kepada aktiviti pemujaan.
“Objek terbabit akan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk dibedah siasat,” katanya.