BAU (Sarawak) — Usaha mengeluarkan mayat lelaki berusia 37 tahun yang meninggal dunia ketika mencari emas di sini semalam terhalang apabila ketulan batu besar runtuh di sepanjang laluan yang digunakan pasukan penyelamat.
Ketua Polis Bau DSP Mohd Sabri Zainol memberitahu Bernama polis dan anggota penyelamat yang menyertai pasukan itu terpaksa menangguhkan operasi tengah hari Khamis apabila bertan-tan batu jatuh ketika mereka hampir sampai ke kedudukan mayat Lee Sze Chun, yang ditindih ketulan batu di dalam terowong yang digali di Gunung Tubai, kira-kira enam kilometer dari sini.
“Demi keselamatan para penyelamat, saya minta operasi dihentikan pada pukul 4 petang. Saya tidak nampak ada cara lain untuk meneruskannya,” kata beliau sambil menjelaskan bahawa satu mesyuarat akan diadakan di sini esok untuk merangka langkah seterusnya.
Beliau berkata keputusan itu dipersetujui anggota keluarga mangsa yang menyaksikan operasi berkenaan sejak pukul 9 pagi.
Beberapa peralatan menyelamat juga tertimbus apabila bahagian bumbung terowong sedalam lebih 30 meter itu runtuh, katanya.