BAU: Politik pembangunan bagi mensejahtera dan meningkatkan taraf hidup rakyat merupakan keutamaan serta komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga berjaya membawa kepada transformasi di negeri ini.
Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, malahan melalui dasar dan perjuangan politik pembangunan, kerajaan juga mampu memberi peluang kepada rakyat terlibat dalam ekonomi serta industri kecil.
“Kita sepatutnya bangga sejak merdeka dan membentuk Malaysia selama 49 tahun, kita dapat melihat perubahan di negeri kita bukan sahaja secara fizikal tetapi juga ekonomi, pendidikan, kesihatan serta sikap rakyat kita yang berubah dan lebih berkeyakinan tinggi.
“Ini juga disebabkan kepimpinan kita dan kerajaan (BN) yang berjaya menyatupadukan masyarakat menerusi kepimpinan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri (Pehin Sri Abdul Taib Mahmud) kita menerusi politik pembangunan yang diperjuangkan selama ini,” katanya.
Berucap merasmikan Majlis Pelancaran Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Dewan Masyarakat Krokong di sini semalam, Awang Tengah yang juga Menteri Kemudahan Awam menjelaskan, kerajaan BN sentiasa menitikberatkan politik pembangunan mensejahterakan rakyat, bukan sebaliknya seperti segelintir pihak yang lebih membawa kemunduran kepada rakyat.
Beliau menegaskan, golongan sedemikian hanya mahu mengutuk pembangunan yang dibawakan kerajaan dan bukannya membawa kemajuan kepada rakyat.
“Kita sedar tidak semua projek pembangunan yang dilaksanakan dapat dilakukan sekali gus di semua tempat kerana Sarawak berbeza dari segi taburan penduduk dan sehingga hari ini, kita mempunyai hampir 6,000 kampung serta rumah panjang bertaburan seluruh Sarawak.
“Kita sedar masih ada di antara masyarakat kita belum menikmati Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan Bekalan Air Luar Bandar (BALB), namun kita harus ingat bahawa keadaan kini jauh berubah jika dibandingkan 49 tahun lalu,” ujar beliau.
Di Sarawak, katanya, kerajaan memberi keutamaan kepada keperluan asas luar bandar seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air bagi meningkatkan taraf hidup rakyat di kawasan luar bandar.
Misalnya, di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), dalam tempoh dua tahun Sarawak menerima peruntukan bagi BALB sebanyak RM1.5 juta dan RM1.7 juta bagi BELB, jelasnya.
“Ini selari dengan matlamat kita untuk mencapai sasaran 95 peratus penduduk Sarawak mendapat bekalan elektrik daripada 74 peratus buat masa ini,” kata beliau.
Berhubung projek BELB di kawasan Parlimen Mambong sejak 2009 hingga tahun ini, kerajaan telah memperuntukkan lebih RM80 juta bagi pelaksanaannya.
Sementara semalam, projek BELB bagi kontrak (2012-2013) di kawasan Krokong yang merangkumi lapan buah kampung termasuk Kampung Batu Spit, Kampung Pisa, Kampung Peros, Kampung Pengkalan Tebang, Kampung Ledan Gumbang dan tiga lagi kampung lain menelan kos RM8.5 juta.
Hadir sama Ahli Parlimen Mambong Datuk Dr James Dawos Mamit, Menteri Muda Kemudahan Awam Datuk Sylvester Entri Muran, Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Dr Jerip Susil, Timbalan Speaker DUN Datuk Roland Sagah Wee Inn dan Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais.