PUTRAJAYA, 8 Okt — Pendaftaran mendapatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 bagi pemohon baharu dan orang bujang yang layak akan dibuka mulai 1 Nov ini, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Beliau berkata pendaftaran boleh dibuat dengan mengisi borang yang disediakan di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pejabat daerah serta pejabat pembangunan persekutuan, selain dalam talian.
Bagi penerima BR1M yang lalu, mereka tidak perlu lagi memohon kerana akan layak secara automatik menerima BR1M 2.0 yang dijangka diagih awal tahun depan, katanya pada sidang media, di sini pada Isnin.
“Namun kami tetap buat pemeriksaan, mungkin ada yang perlu pengubahsuaian, mungkin ada kes-kes penerima BR1M tahun ini yang dah meninggal dunia. Kalau ketua keluarga dah meninggal, isteri masih boleh ambil (BR1M 2.0),” katanya.
Pada pembentangan Belanjawan 2013, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan 1 Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan BR1M 2.0 yang turut diperluas kepada orang bujang berusia 21 tahun ke atas dengan pendapatan bulanan kurang RM2,000 yang melayakkan mereka menerima RM250.
Bagaimanapun pelajar institusi pengajian tinggi tidak layak menerima BR1M 2.0, sebaliknya mereka akan menerima Baucar Buku 1Malaysia juga bernilai RM250.
BR1M tahun ini menyaksikan kerajaan persekutuan memberi bantuan RM500 kepada setiap isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan ke bawah, yang dimanfaatkan oleh 4.2 juta isi rumah membabitkan peruntukan kira-kira RM2.2 bilion, manakala BR1M 2.0 membabitkan peruntukan RM3 bilion dengan tambahan penerima kira-kira 2.7 juta individu bujang.
Mengulas lanjut, Ahmad Husni berkata mereka yang tercicir daripada senarai BR1M yang lalu juga layak memohon BR1M 2.0.
Bagi memastikan hanya yang benar-benar layak menerima BR1M 2.0, kementerian itu akan membuat semakan dengan agensi berkaitan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan LHDN, kata Ahmad Husni.