AGENDADAILY – Usaha sebuah portal pembangkang hendak belit dan putar satu pertemuan ‘courtesy call’ yang pernah diadakan antara Datuk Seri Najib Tun Razak dengan George Soros nampaknya tidak begitu menjadi.
Semua orang faham kenapa portal yang didakwa ada terima dana dari orang yang dilabel sebagai penyangak mata wang itu begitu gairah hendak menjadikan pertemuan itu satu isu.
Senang cakap umpamanya beginilah gambaran yang cuba dipancarkan…kalau kamu tuduh kami terima wang dari Soros…yang kamu jumpa dia itu kenapa?
Bodoh sangatlah pengendali portal itu tidak faham politik dan urusan kerja seorang Perdana Menteri dimana ada orang itu dan orang ini hendak bertemu dengannya.Ini termasuk sewaktu lawatan ke luar negara.
Semua orang tahu setiap tahun Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng datang ke rumah terbuka Hari Raya Perdana Menteri.Apakah itu bermaksud ada apa-apa antara mereka.
Atau Najib pernah minum teh tarik sejenak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di bilik VIP Parlimen tidak lama dulu.Apakah itu sudah tanda mereka OK.
Sebab itu Perdana Menteri nampak relaks sahaja ketika soalan mengenai laporan portal itu berhubung pertemuannya dengan Soros ditujukan wartawan padanya semasa sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di PWTC Jumaat malam.
Portal itu melaporkan pertemuan itu berlangsung pada 27 September 2010 semasa Najib menghadiri sidang Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.
Beliau mengesahkan memang benar mereka ada bertemu.Katanya ia cuma ‘ courtesy call’ (kunjungan hormat) atas permintaan Soros sendiri.
“Ya, memang saya berjumpa dengannya. Apa salah dengan itu?. Ia adalah kunjung hormat biasa antara dua pihak,”katanya.
Beliau juga selamba secara berjenaka kata ,”tak perlu dibimbangi. Tidak ada isu untuk menjatuhkan kerajaan. Tak bincang pun untuk dapat kewangan. Tak ada niat jahat.”
Menurut Perdana Menteri sebelum ini Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah juma dengan Soros.
Najib juga nampak relaks saja ketika diminta menjawab satu lagi isu yang cuba digembar gembur pembangkang iaitu mengenai dana RM40 juta yang dikatakan disalurkan dari Hong Kong sebagai sumbangan politik kepada Perhubungan UMNO Sabah menerusi Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.
Beliau mengesahkan adanya sumbangan berkenaan pada UMNO Sabah.
Apapun katanya sumbangan berkenaan disalur mengikut prosedur yang betul.
“Ia adalah sumbangan politik. Setiap parti politik mempunyai hak untuk menerima sumbangan politik selagi ia datang mengikut saluran yang betul.
“Pembangkang juga menerima sumbangan. You (anda) boleh tanya soalan yang sama kepada pembangkang,” katanya.
Khamis Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz memberitahu Dewan Rakyat dalam jawapan bertulis kepada soalan dari Tian Chua (PKR-Batu) bahawa tiada elemen rasuah dalam penyaluran dana berkenaan.
Katanya sumbangan yang dibuat kepada Badan Perhubungan UMNO Sabah dan bukannya untuk Ketua Menteri.
Ditanya mengenai dolak dalik pembangkang tentang kabinet bayangan,Najib berkata kabinet bayangan adalah satu keperluan dalam sistem demokrasi ‘Westminister’ di England dimana rakyat boleh menilai sama ada pasukan bayangan yang dibentuk pembangkang berwibawa atau tidak.
“Mereka ini (pembangkang) sebenarnya beri macam-macam mesej yang bertentangan. Ada yang mendakwa itu kabinet bayangan dan masukkan dalam blog, dan ada pula yang menafikan itu bukan kabinet bayangan mereka dan ada yang kata tak perlu cuma bila menang pilihanraya saja mereka boleh bentuk kerajaan,” katanya.
Beliau sebelum itu memberitahu Dewan Tertinggi BN turut mengambil kira bahawa bajet pembangkang tidak mendapat tumpuan di kalangan para penganalisis ekonomi.
Katanya, para penganalisis itu berpendapat bahawa bajet pembangkang itu tidak dapat dipertahankan dari segi kredibiliti dan kemampanan untuk dilaksanakan.
“Segala janji yang dibuat (dalam bajet pembangkang) kalau dilaksanakan akan membawa kesan dan mudarat yang besar terhadap keutuhan kewangan kerajaan dan keyakinan terhadap ekonomi negara,” katanya.
Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata Dewan Tertinggi juga berharap pelaksanaan dalam Belanjawan 2013 akan diberi tumpuan dan penelitian yang sebaiknya supaya rakyat mendapat manfaat sepenuhnya.-