KOTA KINABALU – Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Tan Sri Bernard Dompok berkata, rakyat harus menerima corak dan pentadbiran seseorang pemimpin yang bertukar ganti bagi meneruskan kesinambungan pembangunan dan kemakmuran negara.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata, pendekatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak wajar dipuji memandangkan pelbagai kejayaan dicapai menerusi program tranformasi yang didukungnya dari pelbagai aspek sosial mahupun ekonomi negara.
“Saya telah bersama tiga perdana menteri iaitu Tun Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini Najib yang saya amat tertarik pada visi-visi beliau terutama corak pentadbiran dan cetusan ilham program transformasi dan gagasan 1Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’,” katanya ketika berucap merasmikan konvensyen Upko Putatan di sini, hari ini.
Beliau berkata, rakyat harus memberi masa kepada kepimpinan Najib kerana segala program dan perancangan untuk ‘berubah’ mungkin tidak dapat ditunaikan dalam sekelip mata, sebaliknya usaha lebih keras untuk mencapai ke suatu tahap yang lebih tinggi.
Dalam pada itu, Dompok meminta anggota jentera parti sentiasa menemui rakyat bagi memberi penjelasan fungsi Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya umum ke-13, supaya mereka terus memberi sokongan kepada BN.
“Pilihan raya umum kali ini rasa jauh sedikit kerana kita jangka awal tahun ini selepas Tahun Baru Cina tetapi tidak jugak, kemudian Jun pun tidak (berlaku) dan (mungkin) November belum tentu lagi kita tahu.
“Apa yang lebih penting kita bersiap-sedia hadapi pilihan raya bila-bila masa dan anggota parti harus bersatu dalam satu pasukan,” katanya.
Dompok berkata Bajet Alternatif Pakatan Rakyat sukar dilaksanakan kerana peruntukan yang besar itu adalah di luar jangkauan dan beliau percaya rakyat Sabah tidak akan terpedaya dengan dakyah terbaru pembangkang itu.