JOHOR BAHARU, 27 Okt (Bernama) — Mayat seorang wanita dipercayai mati dibunuh ditemui di dalam but sebuah kereta di Jalan Teratai, Taman Johor Jaya, di sini Jumaat.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Roslan Zainuddin berkata penemuan mayat itu susulan laporan orang ramai yang curiga melihat kereta Perodua Kancil berwarna hijau yang diletak di situ.
Polis menerima laporan pukul 7 malam dan sepasukan polis yang digegas ke lokasi menemui mayat wanita berpakaian lengkap di dalam but kereta tersebut, katanya ketika dihubungi.
Siasatan awal mendapati ada kesan tikaman pada perut wanita yang dianggar berusia berusia sekitar 30-an itu dan tiada pengenalan diri ditemui pada mayat tersebut, katanya.
Mayatnya dihantar ke Hospital Sultan Ismail di sini untuk bedah siasat dan polis sedang berusaha mengenal pasti identiti mangsa, katanya.