KUCHING – Anggota Parlimen Stampin Datuk Yong Khoon Seng dan anggota Parlimen Mambong Datuk Dr James Dawos Mamit menyokong cadangan supaya Barisan Nasional (BN) mengumumkan lebih awal nama calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.
Yong menyifatkan cadangan tersebut sesuai dengan situasi semasa, selain memberi peluang kepada calon yang terpilih untuk bersedia lebih awal.
“Bagus beritahu awal supaya calon-calon dapat terus bekerja. Situasi sekarang agak kelam-kabut kerana masing-masing tidak tahu siapa yang akan jadi calon dan seterusnya bertanding,” katanya selepas melancarkan Program Penyelengaraan Pili Bomba di sini, Ahad.
Dawos yang juga Timbalan Menteri Pelancongan persekutuan pula berkata langkah itu akan membolehkan calon membuat perancangan strategik bagi menghadapi pilihan raya.
“Terserah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi BN, untuk membuat keputusan,” katanya.