Pilihanraya Umum Ke 13 (PRU 13) dijangkakan berlangsung bila-bila masa saja dari sekarang dan sebagaimana biasa, makin dekat musim pilihanraya maka kian aktiflah para pemimpin pembangkang misalnya dari PAS mendendangkan semula isu perlaksanaan hukum hudud.
Itulah yang terjadi kini apabila Presiden PAS, Abdul Hadi Awang tiba-tiba sahaja memberi kenyataan terbuka mendakwa sudah wujud titik temu di antara DAP dengan PAS berhubung isu hudud PAS yang sedang hangat diperdebatkan tika ini.
Menurutnya, “Titik persamaan secara umum sudah disepakati, apabila DAP menerima konsep yang sudah ada dalam perlembagaan negara, termasuk kedudukan agama Islam.
Bagi PAS sudah cukup menarik untuk memberi ruang perbincangan sekiranya memerintah negara. Cara ini tidak boleh dilakukan oleh UMNO dengan rakan-rakan karibnya dalam Barisan Nasional,” demikian kata Hadi dalam satu kenyataannya semalam.
Dari bait demi bait kenyataan rasmi Presiden PAS itu, ternampak jelas Hadi cuba membersihkan imej keras DAP khususnya dalam hal melibatkan isu hudud.
Itulah hakikatnya sejak dulu, pemimpin PAS akan senantiasa mencari hujah yang bersimpul-simpul semata-mata memepertahankan rakan sepakatannya sekalipun sudah disedarinya DAP tidak pernah berganjak dari pendiriannya dalam isu tersebut.
Entah di mana wujudnya titik temu bagi DAP dan PAS dalam isu hudud sukar dimengertikan. Seringkali yang terjadi apabila isu hudud di bawa ke mesyuarat tertinggi PR akan berakhir dengan kenyataan ‘hudud bukan keutamaan PR” ataupun “hudud tidak akan dilaksanakan sekiranya PR memerintah negara”.
Kemudian macam biasalah, para pemimpin PAS akan gebang keliling kampung kononnya UMNO yang menolak perlaksanaan hudud. PAS yang berjanji, PAS yang memasukkan janji hududnya dalam manifesto 1986 dan 1990, UMNO pula yang dipersalahkan.
Kalau soal penerimaan DAP terhadap Islam sebagai agama rasmi sebagaimana termaktub dalam perlembagaan negara dijadikan asas oleh Hadi untuk mendakwa wujudnya kesepakatan diantara mereka, jelaslah Hadi sudah terbelit dengan lidah sendiri.
Mana tidaknya bila sebelum ini, Hadi jugalah yang mentakrifkan perlembagaan negara sebagai perlembagaan kafir, jahiliah dan sekular melalui amanatnya kira-kira hampir 30 tahun lampau, namun kini perlembagaan itu pula yang dijadikan sandaran oleh PAS untuk menonjolkan konon sudah wujud kesepakatan dan titik temu antara DAP dengan PAS.
Satu-satu caranya untuk PAS membuktikan betapa seriusnya mereka untuk melaksanakan hudud mengikut lunas demopkrasi berparlimen ialah dengan bertanding di minima 167 kerusi parlimen dan menang di sekurang-kurangnya 148 kerusi tersebut supaya perlembagaan negara dapat dipinda bagi memberi laluan kepada perlaksanaan hukum hudud PAS.
Soal dasar dan prinsip perjuangan PR pun tidak mampu ditentukan oleh PAS, hatta untuk menuntut hak kuota bertanding di minima 100 kerusi juga tak tercapai dek kemampuannya, apatah lagi mahu bertanding di 167 kerusi parlimen.
Hadi boleh terus bermimpi indah sambil mengharapkan para penyokong PAS serta umat Islam keseluruhannya percaya bahawa PAS benar-benar serius untuk melaksanakan hukum hudud, tapi hakikatnya realiti yang terpampang depan mata tidak mampu dinafikan oleh mana-mana pihak.
Baik dalam Buku Jingga yang menjadi dasar perjuangan PR dan dipersetujui oleh PAS mahupun dalam mana-mana mesyuarat peringkat tertinggi pimpinan PR berkaitan isu hudud, semuanya jelas menunjukkan PR mahupun PAS tidak akan melaksanakan hukum hudud.
Janji demi janji sejak dulu hingga kini sama ada dari mulut Presiden PAS mahupun lain-lain pemimpinnya, hanyalah gebang dan dongengan semata-mata, tak lebih tak kurang hanyalah bertujuan supaya penyokong PAS terus lena dibuai mimpi indah. Realitinya, jauh panggang dari api.