…..
Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut, manakala enam lagi parah dalam satu kemalangan membabitkan enam buah motosikal dan sebuah kenderaan utiliti sukan.
Antara yang cedera parah, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Kota Tinggi, ASP Kamardin Yusof.
Kemalangan jam 11.30 pagi tadi berlaku di kilometer 13.6, lebuh raya baru Lembah Klang arah utara sebelum susur Subang.
Konvoi 12 buah motosikal berkuasa tinggi ini dalam perjalanan dari Kota Tinggi, Johor menuju ke utara tanahair.
Siasatan awal polis mendapati, sebuah kenderaan mengubah haluan secara tiba-tiba dari laluan tengah ke laluan paling kanan.
Kejadian menyebabkan kenderaan itu menghimpit dua buah motosikal terbabit sebelum terbabas ke arah besi penghadang tengah lebuh raya.
Pada masa sama, empat lagi motosikal tidak sempat mengelak lalu merempuh sesama sendiri.
Manakala enam lagi motosikal yang mengekori di belakang, terselamat.
Yang maut, Ishak Jaafar, 53 tahun, dari Kota Tinggi Johor.
Isterinya yang membonceng, antara lima yang cedera parah dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.